Perang belum tamat di bumi, kuasa besar dah rebut bulan
Oleh AYMAN RASHDAN WONG
Sementara orang ramai masih fokus dengan Perang USrael-Iran, US baru sahaja melancarkan misi Artemis II semalam.
Misi Artemis II ini adalah penerbangan berawak (crewed flight) yang akan mengorbit bulan, dijangka ambil masa sekitar 10 hari.
Ini kali pertama NASA hantar manusia ke arah bulan sejak tahun 1972 (54 tahun yang lalu).
Kenapa tiada manusia ke Bulan lagi sejak itu? Ini soalan favourite geng konspirasi.
Jawapannya senang saja: Sebab tiada keperluan.
Waktu itu, US dan USSR (atau Soviet, Rusia zaman komunis) berlumba-lumba nak ke Bulan.
US berjaya mendaratkan manusia dengan Apollo 11 pada tahun 1969. Lepas tu diikuti Apollo 12, 14, 15, 16, dan 17 (tahun 1972).
Apollo 13 tak berjaya sebab nahas. Memang suey betul nombor 13 ni pada orang kulit putih.
USSR cuba berkali-kali tetapi tidak berjaya. Akhirnya, mereka pun give up. Tamatlah Space Race pertama dengan kemenangan US.
Tapi sekarang, US nak balik ke Bulan. Artemis 2 dan 3 ini misi persediaan.
Nak test kapal angkasa, teknologi, dan pastikan semuanya selamat untuk manusia. Artemis 4 nanti baru betul-betul mendarat di permukaan bulan.
Tapi kali ni lain dengan Apollo. Mereka bukan nak singgah ambil gambar dan balik. Mereka nak mula bina penempatan kekal, pangkalan, dan infrastruktur.
Inilah trend geopolitik baru yang sedang berlaku: Kuasa-kuasa besar semua tengah merancang nak bina penempatan di angkasa, khususnya bulan.
China, India, Rusia semua nak buat benda yang sama. Malah sebab China agresif maju dalam program angkasa, baru US pun rasa terdesak nak kejar.
Itu yang Elon Musk selalu cakap pasal nak colonize Marikh. Nak sampai ke Marikh, kena kuasai bulan dulu sebagai batu loncatan.
Jadi, geopolitik zaman sekarang dah berevolusi jadi “astropolitik”. Bukan bumi (geo) saja yang jadi rebutan, langit/angkasa (astro) pun nak rembat.
Program Artemis ini sebenarnya bermula zaman Trump (2017). Dia juga yang tubuhkan Space Force, angkatan tentera angkasa pertama di dunia.
Dalam banyak benda bodoh Trump buat, dasar astropolitik dia kira yang nampak ada otak sikit.
Dan ramai tak sedar Malaysia baru saja sertai Perjanjian Artemis Accords tahun lepas masa Trump datang ke KL. Tak heboh sebab orang tak minat.
Banyak orang rasa astropolitik ini jauh sangat, tidak relevan. Geng konspirasi pun akan duk meracun, kata semua ni tipu, wayang, imej janaan komputer (CGI) saja.
Padahal, astropolitik ini ada kaitan terus dengan survival negara dan kuasa pada masa depan.
Iran boleh lawan USrael dengan yakin sebab dia ada teknologi angkasa yang mantap. Peluru berpandu dan dron ini bergantung kepada satelit.
Selain satelit Iran sendiri, sistem BeiDou China lah ‘game changer’ dalam perang kali ni.
Kalau US kawal habis angkasa, dah lama Iran jadi lauk.
Jadi, astropolitik adalah future yang kita kena peka sekarang.
Tapi “Profesor” Jiang kegemaran anda kata moon landing tu hoax. Macam mana tu?
BACA JUGA Kerja dari rumah 3 hari seminggu: Ini fakta rakyat wajib tahu