MP kerajaan gesa rangsangan fiskal segera sebelum krisis tenaga memuncak

Malaysia berdepan risiko kejutan tenaga global yang semakin memuncak, dengan penganalisis memberi amaran bahawa lonjakan harga minyak sehingga tiga atau empat kali ganda bukan lagi sekadar kemungkinan teori.

Dalam konteks ini, seruan semakin kuat agar kerajaan menyediakan kerangka rangsangan fiskal pra-emptif yang diluluskan lebih awal oleh Parlimen bagi menghadapi sebarang gangguan sistemik.

Ahli Parlimen Ipoh Timor merangkap Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa, Howard Lee, menegaskan bahawa pendekatan menunggu dan melihat bukan lagi pilihan yang selamat.

“Rangsangan fiskal mesti dilihat sebagai benteng pra-emptif terakhir, bukan reaksi panik apabila krisis sudah melanda,” katanya.

Menurut beliau, gangguan rantaian bekalan tenaga berpotensi memberi kesan berantai kepada ekonomi domestik termasuk keselamatan makanan, kos pengangkutan, dan kelangsungan perusahaan kecil dan sederhana.

Kesiapsiagaan tinggi

Walaupun mekanisme sedia ada seperti subsidi bersasar dan rasionalisasi diesel membantu meredakan tekanan awal, skala ancaman yang menghampiri memerlukan tahap kesiapsiagaan yang lebih tinggi.

Persoalan sebenar bukan lagi sama ada rangsangan fiskal perlu digunakan, tetapi bila dan bagaimana ia dilaksanakan dengan tepat.

Sejarah telah menunjukkan bahawa kegagalan intervensi bukan berpunca daripada konsepnya, tetapi kelemahan pelaksanaan seperti ketirisan dan ketidaktepatan sasaran.

Dalam hal ini, cadangan untuk memperkenalkan pencetus subsidi automatik, pemantauan digital yang telus, serta klausa penamatan yang jelas adalah langkah ke hadapan yang lebih matang.

Ia bukan sahaja mengurangkan risiko pembaziran, tetapi memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan memberi impak maksimum kepada rakyat dan ekonomi.

Lebih penting, kerangka ini perlu melindungi kedua-dua pihak secara serentak iaitu isi rumah yang terkesan dan perniagaan yang menyediakan pekerjaan.

Mengabaikan salah satu daripadanya hanya akan melemahkan keseluruhan sistem ekonomi negara.

Hakikatnya, kos tidak bertindak boleh menjadi jauh lebih tinggi daripada kos intervensi.

Apabila harga tenaga melangkaui kemampuan rakyat, rantaian bekalan mula terputus dan pengangguran meningkat, ketika itu ruang untuk bertindak sudah terlalu sempit.

Seperti ditegaskan Howard Lee, “Kita tidak boleh tunggu sehingga harga melambung tinggi sebelum bertindak. Keputusan mesti dibuat lebih awal, dengan mandat Parlimen dan disiplin fiskal yang jelas.”

Dalam dunia yang semakin tidak menentu, persediaan awal bukan lagi pilihan dasar, ia adalah keperluan strategik.

BACA JUGA Kerja dari rumah 3 hari seminggu: Ini fakta rakyat wajib tahu