SSM perkenal empat inisiatif 2026 perkukuh pematuhan korporat dan PMKS

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Penutup Program Usahawan Muda Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 disempurnakan oleh YB Senator Datuk Dr. Fuziah Salleh Timbalan Menteri KPDN di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi Selangor. 2hb April 2026 (Khamis)

Kerajaan melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memperkenalkan empat inisiatif utama bagi tahun 2026 dalam usaha memperkukuh pematuhan korporat serta merancakkan pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Pengumuman tersebut dibuat sempena Majlis Perasmian Penutup Program Usahawan Muda Peringkat Kebangsaan 2026 yang disempurnakan oleh Fuziah Salleh di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dalam ucapannya, beliau menegaskan komitmen berterusan SSM sebagai agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam memperkukuh ekosistem perniagaan negara melalui penambahbaikan kerangka perundangan, termasuk pelaksanaan pindaan Akta Syarikat 2024 dan Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2024.

“Langkah ini selari dengan aspirasi untuk mewujudkan ekosistem perniagaan yang dipercayai, cekap dan lestari,” katanya.

Empat inisiatif utama yang diperkenalkan merangkumi pelaksanaan Klinik Pematuhan dan Kempen Pemulihan Dokumen Statutori bagi membantu syarikat memenuhi kewajipan di bawah Akta Syarikat 2016.

Melalui inisiatif ini, syarikat yang mempunyai tunggakan dokumen seperti Penyata Tahunan, Penyata Kewangan dan Maklumat Pemunyaan Benefisial diberi peluang mendapatkan khidmat nasihat serta tempoh khas untuk membuat pematuhan tanpa dikenakan tindakan tegas.

Selain itu, Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1O1P) diteruskan dengan menawarkan pendaftaran dan pembaharuan perniagaan secara percuma kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU), sekali gus menggalakkan penyertaan lebih inklusif dalam sektor keusahawanan.

SSM turut melanjutkan tempoh Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP) daripada satu tahun kepada dua tahun, khusus bagi golongan B40 dan pelajar institusi pengajian tinggi untuk memulakan perniagaan tanpa beban kos pendaftaran.

Sebagai tambahan, Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma Warga Emas (SPPWE) diperkenalkan bagi memberi peluang kepada golongan berusia untuk terus aktif menjana pendapatan dan menyumbang kepada ekonomi negara.

Menurut Fuziah, inisiatif tersebut juga mengambil kira cabaran Malaysia sebagai negara yang menuju ke arah masyarakat menua, dengan peratusan penduduk berusia 65 tahun ke atas dijangka meningkat secara signifikan menjelang tahun 2030.

Pelaksanaan Klinik Pematuhan dan S1O1P akan bermula pada 16 April 2026, manakala SPPP dan SPPWE akan berkuat kuasa mulai 1 Jun 2026.

Pelaksanaan Klinik Pematuhan dan S1O1P akan bermula pada 16 April 2026, manakala SPPP dan SPPWE akan berkuat kuasa mulai 1 Jun 2026.
