17 individu sebar maklumat palsu harga minyak, tarif elektrik disiasat
Seramai 17 individu yang disyaki menyebarkan maklumat palsu berkaitan kenaikan harga bahan api dan tarif baharu elektrik yang tular di media social sedang berdepan siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menerusi kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan bahawa sebanyak lapan rakaman percakapan telah diselesaikan setakat ini, termasuk lima kes melibatkan hantaran palsu mengenai kenaikan harga bahan api.
“Daripada jumlah itu, tiga suspek telah dirakam percakapan sebelum ini, manakala baki dua lagi diselesaikan semalam,” katanya.
Dalam masa sama, tiga kes turut dikenal pasti melibatkan isu tarif elektrik baharu.
Baki sembilan individu lagi kini dalam pemantauan dan akan dipanggil untuk rakaman percakapan dalam masa terdekat.
Menurut MCMC, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 586), yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
“MCMC memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial yang bertujuan untuk mengelirukan orang ramai dengan penyebaran maklumat palsu.
“Penyebaran maklumat maklumat palsu ini boleh menimbulkan suasana panik dan kegelisahan kepada pengguna.
“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada,” menurut MCMC lagi.
BACA JUGA Lagi negara bergelut krisis tenaga, harga LPG melambung, pekerja berbondong balik kampung