Jelas kerajaan bertindak secara bersasar untuk bantu rakyat 

Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan pendekatan kerajaan dalam menangani tekanan kos sara hidup adalah jelas, iaitu bertindak secara bersasar bagi melindungi rakyat daripada kesan krisis global.

Beliau berkata langkah awal yang diambil kerajaan menunjukkan komitmen untuk memastikan beban kenaikan kos, khususnya akibat harga tenaga, tidak ditanggung sepenuhnya oleh rakyat.

Menurutnya yang juga Penasihat Politik Perdana Menteri, sekitar RM4 bilion telah dibelanjakan melalui Inisiatif Sokongan Rakyat sebagai satu bentuk stimulus bersasar bagi menyerap kesan kenaikan harga minyak global.

Antara hasil intervensi tersebut termasuk harga RON95 yang kekal pada RM1.99 seliter, selain sokongan diesel yang diteruskan kepada sektor yang layak.

“Ini menunjukkan pendekatan kerajaan jelas — bukan sekadar bertindak, tetapi bertindak secara bersasar,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa keadaan semasa bukan lagi “business as usual”, dengan tekanan terhadap kos tenaga dan rantaian bekalan dijangka berterusan susulan konflik global.

Beliau berkata kesan kepada rakyat tidak berlaku sekaligus, sebaliknya datang secara berperingkat dan boleh menjadi lebih berat sekiranya tidak ditangani dengan baik.

Sehubungan itu, beliau menegaskan keperluan untuk kerajaan kekal bersedia dan mampu bertindak pantas sekiranya keadaan menjadi lebih mencabar.

Menurutnya, sebarang langkah tambahan tidak semestinya berskala besar, tetapi perlu dilaksanakan secara tersusun dan diaktifkan mengikut keperluan semasa.

Beliau turut menekankan bahawa dalam situasi krisis, kerajaan tidak boleh hanya bergantung kepada disiplin fiskal semata-mata tanpa mengambil kira realiti yang dihadapi rakyat.

“Rakyat sedang berdepan tekanan kos sara hidup yang nyata. Dalam keadaan ini, empati sama penting dengan disiplin,” katanya.

Beliau berkata keyakinan tetap diberikan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus membuat keputusan tepat dalam melindungi rakyat dan ekonomi negara.