AMK persoal keutamaan pembangkang anjur konvoi politik ketika krisis tenaga

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mempersoalkan tindakan pembangkang menganjurkan konvoi berskala besar ketika negara dan dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik serta tekanan krisis tenaga global yang semakin memuncak.

Naib Ketua AMK Malaysia, Nadia Nazri berkata, dalam situasi rantaian bekalan tenaga global terjejas akibat konflik Asia Barat, banyak negara mula mengambil langkah berjaga-jaga termasuk mengawal penggunaan bahan api dan memperkenalkan dasar penjimatan.

Menurutnya, Malaysia turut mengambil pendekatan proaktif apabila kerajaan mengumumkan pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) bermula 15 April bagi sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk mengurangkan penggunaan bahan api.

“Dalam masa yang sama, negara kini menanggung hampir RM4 bilion sebulan bagi mengekalkan subsidi minyak, supaya rakyat tidak terkesan secara mendadak oleh kenaikan harga global,” katanya dalam satu kenyataan media.

Ditanggung kerajaan

Beliau menjelaskan, penggunaan bahan api negara kini mencecah sekitar 76 juta liter sehari, dengan kos subsidi yang boleh melebihi RM100 juta sehari dalam tempoh tertentu, mencerminkan beban ekonomi yang besar ditanggung kerajaan demi kebajikan rakyat.

Nadia turut membandingkan langkah negara jiran seperti Indonesia yang mengehadkan penggunaan bahan api kepada sekitar 50 liter setiap kenderaan, Thailand yang sedang mempertimbangkan catuan minyak, serta Filipina yang menyaksikan penutupan ratusan stesen minyak akibat krisis bekalan.

“Namun dalam masa yang sama, kita juga melihat pembangkang memilih untuk menggerakkan konvoi berskala besar, termasuk penganjuran ‘Konvoi Bersama 4 MB’ yang diadakan sempena Ijtimak Antarabangsa Kali Kelima Perpaduan Ummah dan Himpunan Alam Melayu 2026.

“Pendekatan melalui konvoi yang mengajak rakyat meningkatkan penggunaan bahan api secara beramai-ramai ini menimbulkan persoalan tentang keutamaan dan mesej yang ingin dibawa dalam konteks cabaran ekonomi dan tenaga semasa,” tegasnya.

Pemimpin muda berkenaan berpendapat jika satu konvoi melibatkan ribuan motosikal dengan purata penggunaan lima liter, puluhan ribu liter bahan api boleh digunakan hanya untuk satu acara, ketika negara sedang berusaha mengekang kenaikan kos tenaga.

Sehubungan itu, Nadia mempersoalkan sama ada pendekatan tersebut benar-benar mencerminkan perjuangan rakyat atau sekadar persembahan politik.

“Dalam keadaan negara berdepan tekanan ekonomi global, pembangkang sepatutnya tampil dengan cadangan dasar yang konstruktif, bagaimana memperkukuh ketahanan tenaga negara, mengurus subsidi secara lebih mampan, dan memastikan penggunaan sumber yang lebih berdisiplin,” ujarnya.

BACA JUGA 17 individu sebar maklumat palsu harga minyak, tarif elektrik disiasat