“Jangan risau subsidi cukup, kerajaan sentiasa bersama nelayan”

Kerajaan memberi jaminan bahawa subsidi kepada golongan nelayan ketika ini mencukupi, sekali gus memastikan kebajikan serta kelangsungan sektor perikanan terus terpelihara.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata pelbagai bentuk bantuan masih dinikmati nelayan termasuk subsidi bahan api pada kadar RM1.65 seliter bagi Zon A, B dan C.

Menurut beliau, bantuan lain turut merangkumi elaun sara hidup serta insentif tangkapan ikan bagi menyokong pendapatan nelayan.

Tambahnya, kuota sebanyak 70 juta liter diesel sebulan yang diperuntukkan kepada nelayan mencerminkan komitmen besar kerajaan dalam memastikan sektor itu terus berkembang.

“Ini bukan jumlah kecil, ia melibatkan ratusan juta ringgit, malah mungkin mencecah lebih satu bilion dalam bentuk subsidi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Madani Rakyat 2026 Perak di Meru Raya, Ipoh.

Muhammad Faiz menjelaskan subsidi tersebut bertujuan menampung sebahagian kos operasi nelayan dan bukan keseluruhan perbelanjaan.

“Subsidi ini membantu sebahagian kos sahaja. Jika penggunaan bahan api melebihi had ditetapkan, nelayan perlu menampung kos tambahan itu sendiri,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata lambakan bekalan ikan ketika ini turut membantu menstabilkan harga pasaran serta memastikan bekalan makanan laut mencukupi.

Menurutnya, faktor musim yang menyaksikan peningkatan hasil tangkapan membolehkan pelaksanaan program jualan ikan murah di seluruh negara.

Program berkenaan menawarkan kira-kira satu tan metrik ikan pelbagai jenis termasuk ikan bawal emas, kembung, selayang serta makanan laut lain seperti udang, sotong, kerang dan ketam.

Katanya, lebihan bekalan itu membolehkan rakyat menikmati harga lebih rendah melalui jualan terus kepada pengguna, sekali gus membantu mengurangkan kos sara hidup.