“Bang Mat turun senyap cek sawah padi” — usaha pantau bekalan makanan dipuji
Satu lawatan mengejut oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu ke kawasan sawah padi di Pekan mencuri perhatian apabila dilakukan tanpa protokol rasmi atau kehadiran ramai pegawai.
Menurut perkongsian Adun AMANAH Pahang, Mohd Fadzli Mohd Ramly, lawatan tersebut berlaku seawal pagi selepas beliau dimaklumkan mengenai kehadiran menteri berkenaan untuk meninjau isu berkaitan pengeluaran padi.
Katanya, Mohamad yang mesra disapa “Bang Mat” dilihat hadir secara sederhana tanpa pengiring besar, malah hanya ditemani beberapa pegawai tempatan.
Dalam pertemuan itu, Mohamad menjelaskan pendekatan beliau yang turun padang tanpa mengira masa sekiranya terdapat isu berkaitan bekalan makanan rakyat.
“La aku kerja dalam krisis… kena turun kalau ada masalah berkait dengan pengeluaran makanan macam padi ni,” katanya seperti dipetik dalam perkongsian tersebut.
Menurut beliau, isu keterjaminan makanan kini menjadi keutamaan kerajaan, dengan beberapa mesyuarat kabinet diadakan dalam tempoh seminggu bagi membincangkan kedudukan bekalan makanan negara.
Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut meminta pembentangan harian mengenai status stok makanan bagi memastikan bekalan mencukupi.
Dalam masa sama, Mohamad memaklumkan langkah awal telah diambil termasuk menambah stok beras negara serta mendapatkan bekalan tambahan dari luar negara bagi menghadapi kemungkinan gangguan rantaian bekalan.
Beliau turut memberi jaminan bahawa bekalan ikan dan sayur-sayuran setakat ini masih terkawal, namun tidak menolak keperluan strategi baharu sekiranya konflik global berlarutan.
Perkongsian itu turut memuji pendekatan Mohamad yang disifatkan lebih menumpukan kepada usaha memastikan bekalan makanan rakyat terjamin berbanding retorik.
Menurut penulis, langkah tersebut memberi keyakinan bahawa kerajaan memberi perhatian serius terhadap isu kos sara hidup dan keterjaminan makanan rakyat.