Anthony Loke arah audit segera, siasat syarikat treler selepas nahas ragut tiga nyawa

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) diarahkan menjalankan audit serta siasatan segera terhadap syarikat pengendali treler susulan nahas maut di Segamat yang mengorbankan tiga nyawa, baru-baru ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata tindakan tegas perlu diambil termasuk memastikan syarikat terbabit dipertanggungjawabkan atas kegagalan memantau disiplin pemandu mereka.

Menurut beliau, pemandu treler berkenaan didapati positif dadah jenis methamphetamine, sekali gus menimbulkan persoalan serius terhadap tahap pemantauan syarikat terhadap pekerja mereka.

“Saya berharap pihak polis dapat menyelesaikan siasatan kes ini secepat mungkin dan pemandu tersebut dihadapkan ke mahkamah dengan segera,” katanya menerusi hantaran di Facebook selepas menziarahi keluarga mangsa di Hospital Segamat, Johor, tengah hari tadi.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa pihak Jabatan Peguam Negara Malaysia akan memastikan pendakwaan tegas dikenakan terhadap pemandu terbabit.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan dua mangsa masih menerima rawatan dengan seorang daripadanya berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi (ICU).

Terdahulu, beliau sempat bertemu ibu bapa dua mangsa dan menyampaikan sumbangan peribadi bagi membantu meringankan beban kos rawatan serta sokongan kepada keluarga terlibat.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 petang Khamis lalu, tiga individu termasuk sepasang suami isteri maut manakala dua lagi cedera selepas sebuah treler merempuh bahagian belakang van dinaiki mangsa di persimpangan Taman Golden Hill, Gemas Baharu.

Susulan insiden itu, pemandu treler berusia 28 tahun telah direman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan.