Rafizi selamat dari usul digantung jawatan ketua cabang Pandan dengan 8 undi

Bekas Timbalan Presiden PKR yang juga Ketua Cabang PKR Pandan, Rafizi Ramli selamat dari usul untuk menggantung jawatan beliau oleh kawasan beliau sendiri, dengan kelebihan lapan undi sahaja.

Menurut sumber, 42 perwakilan mempertahankan Rafizi dari usul untuk menggantung atau menggugurkan beliau dari jawatan Ketua Cabang Pandan, manakala 34 perwakilan menyokong usul tersebut.

Perwakilan PKR dari Tasik Permai, Sukumaran mengemukakan usul agar Rafizi digantung sebagai Ketua Cabang atau digugurkan dari jawatan itu.

Usul ini dikemukakan dalam Mesyuarat Agung Tahun Cabang PKR Pandan tengahari ini (5 April 2026) yang diadakan di Dewan Komuniti Cheras Indah, Kuala Lumpur.

Bagaimana Rafizi tidak menyertrai mesyuarat agung yang beliau adalah ketua cabangnya ini.

Dalam usulnya, Sukumaran berkata, beliau bimbang dengan kenyataan Rafizi bahawa beliau akan bertanding dalam PRU 16 di Pandan tetapi bukan atas tiket PKR atau Pakatan Harapan.

Oleh itu, beliau mengusulkan agar Rafizi digantung jawatannya atau digugurkan sebagai Ketua Cabang Pandan.

Dalam usul itu, perwakilan mesyuarat agung itu berkata, “Kita ambil maklum kenyataan Ketua Cabang Pandan pada 22 Feb 2026 yang telah dilaporkan oleh beberapa siaran media yang telah menyatakan hasrat untuk mempertahankan kerusi Parlimen Pandan tetapi bukan akan tiket Parti Keadilan.

“Walaupun saudara KC tidak menyatakan hasrat untuk keluar parti sebelum pembubaran parlimen atau atas kapasiti apa beliau akan bertanding kelak, namun pastilah akan berlaku pertembungan antara beliau dan calon yang akan bertanding di bawah tiket Parti Keadilan / Pakatan Harapan.

“Maka sebagai ahli Cabang Pandan, kami merasa khuatir dan terganggu dengan pendirian saudara KC yang pastinya akan memberi kesan kepada peluang untuk Parti Keadilan atau Pakatan Harapan khususnya di Pandan untuk mengekalkan kerusi Pandan.

“Sehubungan itu, kami merasakan saudara KC tidak lagi sesuai untuk terus memegang jawatan KC Pandan dan kami mengusulkan agar YB Dato Seri Rafizi Ramli digantung /digugurkan dari jawatan Ketua Cabang Pandan,” kata Sukumaran yang menyampaikan usul tersebut.

BACA JUGA Warga Indonesia senarai 5 sebab pilih Malaysia berbanding Thailand, no 4 paling bangga