ZRA jawab persoalan ramai kenapa diesel di Sabah, Sarawak lagi murah dari Semenanjung

Aktivis kemanusian, Zainal Rashid Ahmad menjelaskan kepada orang ramai mengapa harga diesel di Sabah dan Sarawak jauh lebih murah berbanding di Semenanjung.

Menurutnya, di Semenanjung, penggunaan bahan bakar adalah tinggi untuk menampung keperluan industri, terutamanya di kawasan seperti Lembah Klang, Pulau Pinang dan bahagian selatan tanah air yang merupakan antara zon penempatan industri terbesar negara.

Berbeza dengan Sabah dan Sarawak, rakyat di sana lebih lebih bergantung kepada diesel sebagai keperluan pengangkutan asas, termasuk penggunaan bot serta kenderaan berdiesel untuk perjalanan jarak jauh berikutan kedudukan geografi yang luas dan mencabar.

“Berbeza di Sabah dan Sarawak, mereka menggunakan diesel kerana penduduk lebih rentan (mudah terjejas) terhadap kos pengangkutan, berikutan kebergantungan kepada bot dan kenderaan jarak jauh kerana kedudukan atau jalur wilayah mereka sangat panjang.

“Maka dia rentan kerana jarak, dan rentan kerana kepenggunaan berdasarkan ekonomi marhaen dia itu. Maka kerajaan kekalkan subsidi untuk mereka kerana jumlah yang mereka gunakan itu tak banyak.

“Kita di Semenanjung, adalah bandar industri. Orangnya ramai, penggunaannya besar. Maka dia mahal kerana jumlah penggunaannya sangat tinggi,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau turut menyentuh isu penyeludupan diesel yang pernah berlaku sebelum ini, terutama di kawasan perairan berhampiran negara jiran.

“Oleh kerana diesel ini menjadi perniagaan di perairan yang sangat tinggi kualitinya, dulu diesel kita murah, kita isi dalam bot, kita bawa dan jual kepada nelayan Thailand.

“Sejak tahun 2000, inilah story yang selalu saya siarkan. Sekarang oleh kerana diesel kita dah capai harga RM6.02, Thailand masih lagi RM5.70, bererti nak seludup ke Thailand tak boleh kerana diesel kita dah tinggi,” katanya.

Namun beliau memberi amaran bahawa kenaikan harga diesel berpotensi memberi kesan langsung kepada harga barangan pengguna sekiranya tidak dikawal dengan baik.

Beliau turut menggunakan analogi ‘satu golongan dipayung dan satu golongan lagi tidak dipayung’ bagi menjelaskan kesan rantaian yang berlaku apabila subsidi diberikan kepada satu sektor tetapi memberi tekanan kepada sektor lain.

Jelas beliau, kerajaan tidak mampu melindungi semua sektor dan golongan, maka rakyat perlu faham langkah demi langkah yang diambil kerajaan untuk menangani isu ini.

“Macam saya kata, katakanlah jatuh hujan batu. Kita tak boleh payung semua orang. Kita payung dulu pengguna petrol. Maka batu yang jatuh atas payung kita ni melambung, jatuh atas kepala pengguna diesel dan akan menaikkan harga barang.

“Mereka yang selamat di bawah payung petrol, terkena pula tempias pada harga barangan. Bererti lantunan itu tidak memberikan lantunan penyelamatan,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan supaya memantau dengan teliti kesan pelarasan harga diesel agar tidak memberi tekanan berlebihan kepada kos sara hidup rakyat.

“Maka tuan-tuan kena jelas, apa sahaja langkah diambil kerajaan, dia tak boleh payung serentak semua orang. Kita cuma boleh beri amaran sekiranya harga diesel memberi impak kepada kenaikan harga barang, maka kerajaan kena kawal cepat-cepat diesel ini supaya kita ini diselamatkan.

“Kita diselamatkan di bawah payung petrol tapi di atas meja makan kita jadi mahal. Bererti kita perlu faham, kena atur satu demi satu sebab payung tak boleh dibuka untuk semua orang dalam keadaan ekonomi sebegini,” katanya.

BACA JUGA Rafizi selamat dari usul digantung jawatan ketua cabang Pandan dengan 8 undi