PM Anwar kenang sumbangan Karam Singh terhadap isu alam sekitar

Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas wartawan penyiaran terkenal, Datuk Karam Singh Walia yang meninggal dunia hari ini.

Perdana Menteri menyifatkan mendiang sebagai seorang wartawan penyiaran yang amat dihormati sepanjang penglibatannya dalam dunia kewartawanan tanah air.

Menurutnya, sumbangan dan dedikasi Karam Singh, terutamanya dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu-isu alam sekitar, akan sentiasa dikenang.

“Sumbangan dan dedikasi mendiang dalam dunia kewartawanan, khususnya dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu alam sekitar, akan terus dikenang dan menjadi inspirasi kepada generasi akan datang.

“Moga mendiang disemadikan dengan aman, dan keluarga diberi ketabahan serta kekuatan dalam menghadapi saat yang sukar ini,” kata Anwar menerusi hantaran di platform media sosialnya.

Terdahulu, Karam Singh, 67, dilapor menghembuskan nafas terakhir jam 3.30 pagi tadi di kediamannya di Klang, Selangor.

Mendiang yang terkenal dengan penyampaian berita diakhiri peribahasa menarik itu bersara dari stesen televisyen TV3 pada 2014.

Sejak berkhidmat sebagai wartawan penyiaran dari tahun 1995, Karam Singh telah memenangi empat kali anugerah Malaysia Press Institute “Wartawan Televisyen Alam Sekitar Terbaik” pada 2004, 2005, 2006 dan 2007 dan dua kali “Anugerah Seri Angkasa”.

Pada 2011, beliau telah dikurniakan dengan anugerah Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran ‘Datuk’ oleh Sultan Pahang.

BACA JUGA Konvoi motor cerminan kegagalan PN tetap keutamaan