Rayuan kerajaan tidak berkait 40% hasil Sabah, tapi isu alasan penghakiman – AGC

Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan, rayuan difailkan oleh Kerajaan Persekutuan terhadap perintah penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dua tahun lalu, sama sekali tidak berkait dengan keputusan pemberian 40 peratus hasil kepada Sabah.

Sebaliknya, rayuan Kerajaan Persekutuan adalah terhadap sebahagian keputusan Mahkamah Tinggi berhubung beberapa isu melibatkan tafsiran peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ia termasuklah dapatan bahawa Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah telah menyalahgunakan kuasa dan melanggar kewajipan perlembagaan sejak tahun 1974.

Hari ini, Mahkamah Rayuan telah membenarkan permohonan Kerajaan Persekutuan untuk menggantung pelaksanaan penghakiman yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober 2024, berhubung kajian semula Pemberian Khas Negeri Sabah dari tahun 1974 sehingga tahun 2021.

Ia digantung sementara menunggu pendengaran rayuan Kerajaan Persekutuan di Mahkamah Rayuan.

“Penggantungan ini bagi membolehkan rayuan Kerajaan Persekutuan didengar dan tidak menjadi akademik dan sia-sia.

“Perintah penggantungan tersebut tidak meliputi dapatan Mahkamah Tinggi berkenaan peruntukan 40% di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.

“Jabatan Peguam Negara juga menegaskan bahawa rayuan yang difailkan oleh Kerajaan Persekutuan bukanlah terhadap formula 40 peratus tersebut,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Pada 11 November tahun lalu, Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkaitan Pemberian Khas 40 peratus hasil kepada Sabah seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

BACA JUGA Akhirnya kapal Petronas berjaya lepasi Selat Hormuz, rakyat Malaysia berdebar menanti