Ini sebabnya tiada sambungan kontrak 45 pegawai farmasi menurut KKM

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum kebimbangan yang dibangkitkan dalam laporan media bertajuk “45 contract pharmacist in limbo as job ends Saturday” yang diterbitkan pada 2 April 2026.

KKM menjelaskan bahawa sebarang tawaran pelantikan tetap adalah bersyarat. 

Surat pelantikan dan penempatan hanya akan dikeluarkan setelah calon memenuhi semua kriteria yang ditetapkan, termasuk pengesahan kesihatan, Akuan Berkanun, serta kekosongan jawatan yang dimuktamadkan.

“Terdapat juga kes di mana pegawai terlibat merupakan calon simpanan yang perlu menunggu giliran mengikut kekosongan semasa.

“Buat masa ini, tiada urusan penyambungan kontrak memandangkan pegawai-pegawai tersebut telah mencapai had maksimum tempoh kontrak sehingga lima tahun yang telah ditetapkan,” kata KKM dalam kenyataan.

Namun, mereka boleh memohon semula apabila pengambilan lantikan tetap dibuka pada penghujung tahun 2027.

Gred kemasukan baharu adalah UF10 (dahulunya UF43), selaras dengan pengenalan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang telah berkuat kuasa mulai 1 Disember 2024.

“KKM kekal komited untuk memastikan kebajikan warga kesihatan terus terpelihara.

“Penjajaran strategik ini merupakan langkah penting bagi memperkukuh sistem sumber manusia kesihatan negara agar lebih saksama, telus dan berdaya saing dalam jangka masa panjang,” ujarnya.

BACA JUGA Pas kalah saman lagi, mengaku salah fitnah Fahmi Fadzil beri ucapan politik di masjid