Umno, PH dan NGO wujud sekretariat bersama di Terengganu

Akhirnya berita baik diterima oleh penyokong Kerajaan Perpaduan/Madani di Terengganu apabila Umno negeri itu bersetuju untuk mewujudkan sekretariat Parti-Parti Kerajaan Madani serta Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO)

Sekretariat tersebut akan dipengerusikan sendiri oleh Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Rozi bin Mamat.

“NGO memainkan peranan yang penting sebagai pihak ketiga dalam membantu Sekretariat yang dibentuk hari ini,” kata Dr Azrie Azeh, Setiausaha Pertubuhan Muafakat Terengganu Baharu (Muafakat), dalam satu kenyataan beliau.

Persetujuan ini dicapai melalui kunjungan hormat Muafakat dan sebuah lagi NGO di Terengganu, GETE, ke atas Rozi dan pimpinan Umno Terengganu sempena Hari Raya Aidilfitri semalam.

Menurut Dr Azrie, wakil PKR, AMANAH, Pertubuhan Muafakat Terengganu Baharu, GETE dan beberapa NGO lain akan menyertai keanggotaan sekretariat tersebut dengan jumlah dan NGO terbabit akan diperincikan kemudian.

Selain Rozi, Setiausaha Umno Terengganu dan Setiausaha Kerja juga akan turut serta terlibat dalam sekretariat bersama ini.

Muafakat telah sekian lama berusaha agar kesemua parti-parti yang menyokong Kerajaan Perpaduan sekarang duduk semeja di bawah satu sekretariat untuk membolehkan mereka bekerjasama bagi berdepan dengan Pas yang menguasai sepenuhnya kerajaan negeri Terengganu sekarang.

Menjurut Dr Azrie, dengan penubuhan ini, sebarang jua cadangan, isu, manifesto bersama dan sebagainya bolehlah dikemukakan bagi dipertimbangkan oleh sekretariat bersama ini.

Dalam pilihan raya umum ke 15 lalu, Pas dan Perikatan Nasional (PN) menyapu bersih kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan juga lapan kerusi Parlimen.

Ekoran itu, usaha dibuat agar partio-parti yang mendokong Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat bekerjasama di Terengganu.

BACA JUGA Muhyiddin tolak Hamzah, Gerakan pula kata okey