Mana ada permohonan tambahan BUDI95, had 200 liter kekal

Kerajaan menegaskan bahawa dakwaan mengenai permohonan umum bagi tambahan had subsidi BUDI MADANI RON95 (BUDI95) adalah sama sekali tidak benar dan tidak berasas.

Kementerian Kewangan (MoF) menerusi kenyataan malam ini memaklumkan walaupun fungsi tersebut diwujudkan pada awal pelaksanaan BUDI95, ia bukan bertujuan untuk permohonan tambahan atas keperluan peribadi.

Sebaliknya, fungsi tersebut adalah bagi kes tertentu dengan keperluan operasi yang jelas dan disahkan, seperti pemandu e-hailing dan pemilik bot, tertakluk kepada kriteria yang ditetapkan.

Menurut MoF, fungsi permohonan tambahan dalam portal BUDI95 telah disalah tafsir sebagai ruang untuk memohon peningkatan had kelayakan secara bebas.

Susulan itu, jelasnya, butang permohonan tersebut telah dinyahfungsikan.

Sehubungan itu, MoF menegaskan bahawa had kelayakan BUDI95 sebanyak 200 liter sebulan kekal berkuat kuasa bagi memastikan subsidi disasarkan kepada majoriti rakyat serta bekalan kekal stabil.

“Langkah sementara ini diambil berikutan tekanan pasaran tenaga global yang berterusan, yang meningkatkan kos subsidi dan memerlukan pengurusan lebih berhemah.

“Data menunjukkan had 200 liter mencukupi bagi 90% pengguna BUDI95. Pada Harga bersubsidi RM1.99 seliter, pengguna boleh membeli RON95 sehingga RM398 sebulan, dengan Kerajaan menanggung sekitar RM500 subsidi bagi setiap penerima,” menurut kenyataan MoF lagi.

Kenyataan sama turut menegaskan bahawa kerajaan akan terus melindungi rakyat, memperkukuh penguatkuasaan bagi membendung ketirisan, serta memantau rapi pasaran tenaga global dan bersedia membuat penyesuaian sewajarnya.

Terdahulu, tular di media sosial terutamanya dalam komuniti pembangkang mengenai tatacara permohonan bagi tambahan had subsidi BUDI95.

“Sesiapa yang rasa tak cukup 200 liter yang dikurangkan bolehlah mohon kembali 300 liter…,” menurut hebahan yang turut menyenaraikan lima langkah permohonan palsu itu.

BACA JUGA Selepas bertahun tertangguh, RUU Suruhannjaya Keharmonian digubal semula