Iran umum syarat hentikan operasi ketenteraan, laluan Selat Hormuz dibuka dua minggu
Kerajaan Iran memberi isyarat kesediaan untuk meredakan konflik di Asia Barat apabila mengumumkan akan menghentikan operasi ketenteraan sekiranya serangan terhadap negara itu dihentikan serta-merta.
Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira usaha diplomatik serantau termasuk peranan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif serta kepimpinan tenteranya, Asim Munir yang berusaha untuk menamatkan konflik.
Menurut beliau, Iran juga bersedia memasuki rundingan berdasarkan cadangan pelbagai pihak termasuk Amerika Syarikat (AS), dengan syarat asas tertentu dipenuhi.
“Jika serangan terhadap Iran dihentikan, Angkatan Bersenjata kami juga akan menghentikan operasi pertahanan mereka,” katanya mewakili Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran.
Republik Islam itu turut mengumumkan pembukaan laluan selamat di Selat Hormuz selama dua minggu sekaligus dijangka memberi kelegaan sementara kepada pasaran tenaga global.
Bagaimanapun, Tehran menegaskan laluan itu akan dikawal rapi melalui penyelarasan dengan Angkatan Bersenjata Iran serta tertakluk kepada kekangan teknikal semasa.
Dalam masa sama, Iran menggariskan 10 syarat utama sebagai asas kepada sebarang perjanjian gencatan senjata:
1) Komitmen untuk tidak melakukan pencerobohan
2) Pengiktirafan kawalan Iran ke atas Selat Hormuz
3) Pengiktirafan hak Iran untuk pengayaan uranium
4) Penarikan semua sekatan utama
5) Penarikan semua sekatan sekunder
6) Penamatan resolusi Majlis Keselamatan PBB
7) Penamatan resolusi Lembaga Gabenor
8) Pembayaran pampasan kepada Iran
9) Pengunduran tentera Amerika Syarikat dari rantau
10) Penamatan konflik di semua medan termasuk Lubnan

Media kerajaan Iran melaporkan apa yang disifatkan Tehran sebagai satu kejayaan diplomatik besar susulan pengesahan gencatan senjata selama dua minggu.
Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran pula menggambarkan perjanjian itu sebagai kemenangan muktamad terhadap AS.
BACA JUGA AS tangguh serangan 2 minggu, sedia bincang 10 cadangan Iran