Mengejutkan! Baru tiga bulan dah 238 pertuduhan kes pemandu mabuk
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) merekodkan 238 pertuduhan terhadap pemandu mabuk menerusi 255 operasi di seluruh negara dalam tempoh Januari hingga Mac lalu.
JSPT menegaskan pihaknya mengambil 100 peratus tindakan undang-undang terhadap pemandu mabuk terbabit.
Menerusi perkongsian di Facebook, jabatan itu memberitahu JSPT tidak berkompromi terhadap pemandu mabuk yang berisiko memberi kesan kepada pengguna jalan raya lain.
Menurutnya, operasi dilakukan untuk mengurangkan kadar kemalangan dan mencegah pemandu mabuk sekali gus meningkatkan kesedaran serta menguatkuasakan undang-undang.
“Tiada alasan, tiada pengecualian dan penguatkuasaan akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang memandu dalam keadaan mabuk,” menurut JSPT.
Kesalahan memandu dalam keadaan mabuk disiasat mengikut Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda minimum RM10,000, penjara sehingga dua tahun serta penggantungan lesen memandu selama dua tahun.
Justeru, JSPT mengingatkan bahawa memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah adalah jenayah serius yang bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah mengancam nyawa pengguna jalan raya lain.
Tambahnya, pemanduan dalam keadaan mabuk boleh menyebabkan kematian, kecederaan parah, kecacatan kekal, serta penderitaan jangka panjang kepada mangsa.
BACA JUGA Rakyat Iran turun ke jalan raya raikan kemenangan