Peniaga jangan sesuka hati naikkan harga barang – Abbas Azmi

SUBANG JAYA, 8 April 2026 — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), YB Abbas Azmi mengeluarkan amaran keras kepada peniaga agar tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan keperluan harian, khususnya di kawasan sekitar Parlimen Subang dan Puchong.

Menurut beliau, para peniaga bukan sahaja bertanggungjawab mencari keuntungan, malah perlu memikul tanggungjawab sosial kepada masyarakat yang bergantung kepada mereka sebagai pembekal utama makanan harian.

“Setiap peniaga perlu faham bahawa selain berniaga dan menjana keuntungan, mereka juga mempunyai tanggungjawab sosial. Mereka inilah yang membekalkan makanan kepada penduduk setiap hari, khususnya di kawasan DUN Seri Serdang, Seri Kembangan dan Kinrara,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa tindakan menaikkan harga secara melampau atau menyekat bekalan barangan adalah tidak bertanggungjawab kerana ia memberi kesan besar kepada kehidupan rakyat.

“Adalah sangat tidak wajar jika ada pihak yang cuba menyorokkan barangan atau menaikkan harga demi keuntungan kecil, sedangkan kesannya amat besar kepada masyarakat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abbas turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Selangor dan Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) atas usaha berterusan memastikan kestabilan harga serta bekalan makanan di pasaran.

Katanya, inisiatif yang dilaksanakan terbukti berjaya mengawal harga dan memastikan bekalan mencukupi bagi hampir 500,000 hingga 600,000 penduduk di kawasan terlibat.

“Alhamdulillah, kita lihat di Pasar Borong hari ini, dasar Kerajaan Negeri Selangor berjaya mengekang kenaikan harga dan memastikan bekalan makanan mencukupi untuk rakyat,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak termasuk peniaga, pembekal dan agensi kerajaan terus memainkan peranan masing-masing dalam menjaga kebajikan rakyat, terutama dalam memastikan bekalan makanan kekal stabil walaupun berdepan cabaran global.

“Makanan adalah keperluan asas rakyat. Tanggungjawab sosial ini perlu dipelihara dengan baik demi kesejahteraan penduduk di kawasan DUN Seri Serdang dan sekitarnya,” katanya.