KPKT sasar 100,000 miliki rumah pertama melalui SJKP
Kerajaan menyasar membantu 100,000 individu memiliki rumah pertama menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) menjelang akhir tahun ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata sasaran itu disokong oleh tambahan peruntukan RM10 bilion yang diumumkan dalam Belanjawan 2026.
Menurutnya, tambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan jaminan kredit di bawah skim berkenaan meningkat kepada RM40 bilion.
“Melalui inisiatif ini, KPKT menyasar untuk membantu 100,000 individu memiliki rumah menjelang akhir tahun ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Program MADANI Rakyat 2026 Negeri Perak.
Setakat 30 September lalu, katanya, SJKP telah meluluskan jaminan pinjaman perumahan bernilai RM23.17 bilion.
Menurutnya, jumlah itu telah membantu seramai 97,180 individu memiliki rumah masing-masing.
Dalam pada itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan terus memastikan harga rumah mampu milik kekal stabil walaupun berdepan kenaikan kos bahan binaan global.
Kor Ming berkata kementerian turut memantau secara rapi projek perumahan bagi mengelakkan kelewatan akibat gangguan rantaian bekalan susulan konflik di Asia Barat.
“KPKT turut memantau secara rapi agar projek-projek perumahan yang sedang dilaksanakan tidak terjejas atau mengalami kelewatan akibat situasi tersebut,” katanya.
Beliau menegaskan komitmen kerajaan untuk memperkukuh kesejahteraan rakyat serta memastikan akses kepada perumahan terus terjamin.