Subsidi minyak: Malaysia lindungi rakyat, Thailand tangguh beban

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, susulan ketegangan geopolitik melibatkan Iran, harga minyak global kembali menjadi topik hangat. 

Seperti biasa, akan ada suara-suara yang membandingkan harga diesel antara Malaysia dan Thailand, lalu membuat kesimpulan mudah: “Thailand lagi murah.”

Tetapi dalam soal dasar awam, angka semata-mata tidak pernah menceritakan keseluruhan cerita.

Yang penting bukan sekadar berapa harga di pam hari ini tetapi siapa sebenarnya yang menanggung kos tersebut, bagaimana ia dibiayai, dan apa implikasinya kepada rakyat dalam jangka panjang.

Ceritanya begini, Thailand menggunakan apa yang dipanggil sebagai Dana Bahan Api Minyak, satu mekanisme lama sejak krisis minyak era OPEC pada 1970-an. 

Secara asasnya, harga bahan api di sana adalah terapung. Tetapi apabila harga melonjak, kerajaan akan menggunakan dana ini untuk “melembutkan” kenaikan tersebut.

Kedengaran baik. Tetapi di sinilah ramai terlepas pandang.

Dana ini bukan jatuh dari langit. Ia bukan juga sepenuhnya datang daripada kerajaan. Ia dikumpul melalui caj ke atas setiap liter minyak yang dibayar oleh pengguna sendiri. 

Dalam erti kata mudah,  rakyat Thailand sebenarnya “prepay” subsidi mereka.

Dan apabila dana ini tidak mencukupi? Kerajaan berhutang.

Setakat ini, had pinjaman telah mencecah sekitar 150 bilion Baht (sekitar RM18.7 bilion). Lebih membimbangkan, defisit dana tersebut melonjak dengan cepat  termasuk lebih 50 bilion Baht dalam tempoh sebulan.

Ini membawa kepada satu realiti yang sukar dielakkan: model ini bukanlah penyelesaian, tetapi sekadar penangguhan.

Murah sementara

Harga boleh nampak murah hari ini, tetapi ia dibayar dengan dua cara iaitu hutang yang meningkat, dan caj tambahan yang akan dikenakan kepada rakyat kemudian untuk menampung defisit tersebut.

Maknanya, “murah” itu hanyalah ilusi sementara.

Bandingkan dengan pendekatan Malaysia.

Di bawah Kerajaan MADANI, sistem Automatic Pricing Mechanism (APM) digunakan sebagai asas. Harga masih mengambil kira pasaran global, tetapi kerajaan campur tangan melalui subsidi bersasar  khususnya kepada sektor strategik seperti pengangkutan, logistik, pertanian dan perikanan.

Di sini letaknya perbezaan yang sangat fundamental.

Malaysia tidak meminta rakyat “bayar dahulu” untuk subsidi mereka. Tiada caj khas yang disorok dalam setiap liter minyak untuk mengisi dana. Sebaliknya, subsidi dibiayai secara langsung oleh kerajaan menggunakan hasil negara.

Ini bermakna apabila kerajaan mengekalkan harga lebih rendah untuk sektor tertentu, itu adalah perlindungan sebenar dan bukan pinjaman yang akan dituntut semula kemudian.

Lebih penting, pendekatan ini bersifat tersasar.

Kita sudah lama belajar bahawa subsidi pukal bukan sahaja membebankan fiskal negara, tetapi juga tidak adil. Golongan kaya, syarikat besar, malah warga asing turut menikmati manfaat yang sama walaupun mereka tidak memerlukan.

MADANI mengubah logik

Subsidi diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan seperti sektor yang menjadi tulang belakang ekonomi rakyat. Ini memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan memberi impak maksimum kepada kestabilan harga dan kesejahteraan rakyat.

Dalam konteks ini juga, kerajaan mempunyai ruang untuk menyesuaikan dasar mengikut keadaan semasa. Apabila harga minyak global turun, beban subsidi dapat dikurangkan. Apabila harga naik, intervensi boleh diperkukuh secara bersasar. Fleksibiliti ini penting dalam dunia ekonomi yang tidak menentu.

Ada yang mempersoalkan: jika Thailand boleh buat harga lebih rendah, kenapa Malaysia tidak?

Jawapannya mudah, Malaysia memilih untuk jujur dengan realiti, bukan sekadar “menghias angka”.

Harga rendah di Thailand hari ini disokong oleh dana yang semakin susut dan hutang yang semakin meningkat. 

Apabila dana itu kering, rakyat akan berdepan kenaikan mendadak. Dan selepas itu, mereka tetap perlu membayar semula hutang tersebut sama ada melalui cukai atau caj tambahan.

Malaysia pula memilih jalan yang lebih sukar tetapi lebih bertanggungjawab.

Kita tidak menyembunyikan kos sebenar. Kita mengurusnya.

Dengan subsidi bersasar, kerajaan dapat mengawal perbelanjaan, melindungi sektor penting, dan pada masa yang sama mengelakkan kejutan harga yang melampau kepada rakyat.

Ini juga memberi kestabilan kepada ekonomi. Perniagaan boleh merancang dengan lebih baik kerana kos bahan api tidak berubah secara mendadak. Rantaian bekalan kekal stabil. Inflasi dapat dikawal.

Kesan limpahan ini tidak kecil. Apabila kos logistik stabil, harga makanan dan barangan asas turut lebih terkawal. 

Ini secara langsung membantu isi rumah, terutamanya golongan berpendapatan sederhana dan rendah yang paling terkesan dengan kenaikan kos sara hidup.

Dalam ekonomi moden, kestabilan adalah nilai yang tidak ternilai.

Tambahan pula, pendekatan Malaysia memberi kejelasan dasar. Pelabur melihat konsistensi dalam pengurusan fiskal dan perlindungan sosial. 

Ini meningkatkan keyakinan terhadap ekonomi negara, sekali gus menyokong pertumbuhan jangka panjang.

Akhirnya, persoalan ini bukan tentang siapa lebih murah hari ini.

Ia tentang model mana yang lebih adil, lebih telus dan lebih mampan.

Thailand memilih untuk “buffer” harga menggunakan dana yang akhirnya ditanggung semula oleh rakyat. 

Malaysia pula memilih untuk melindungi rakyat secara langsung melalui subsidi yang dibiayai kerajaan dan disasarkan kepada yang benar-benar memerlukan.

Satu memberi kelegaan sementara.

Satu lagi membina ketahanan jangka panjang.

Dalam dunia yang semakin tidak menentu, pilihan kedua itulah yang lebih bertanggungjawab.