SUKMA 2026 diteruskan ikut jadual, Kerajaan tekankan kawalan kos

BERITA FOTO: Sidang Media sempena Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA 2026 bersama YB Dr. Mohammed Taufiq Johari, Menteri Belia dan Sukan. Turut hadir YB Najwan Halimi EXCO Belia, Sukan & Keusahawanan Selangor dan Dato’ Rahimi Ismail, Ketua Setiausaha KBS dan EXCO-EXCO Negeri di Lobi Menara KBS, Presint 4, Putrajaya. 9hb April 2026 (Khamis)

Penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 disahkan akan diteruskan mengikut jadual asal dari 15 hingga 24 Ogos ini, meskipun berdepan cabaran ekonomi semasa dan peningkatan kos global.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari, menerusi sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebook (FB Live) selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA 2026

Turut hadir ialah EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi, Ketua Setiausaha KBS, Rahimi Ismail, serta barisan EXCO-EXCO negeri dan wakil-wakil kerajaan negeri yang terlibat.

Menurut Dr. Mohammed Taufiq, keputusan untuk meneruskan temasya sukan dwitahunan itu dibuat selepas meneliti secara menyeluruh semua aspek termasuk kesiapsiagaan penganjur, khususnya Kerajaan Negeri Selangor selaku tuan rumah, serta persiapan atlet dari seluruh negara.

“Penangguhan SUKMA berisiko memberi implikasi kewangan yang lebih besar kepada pihak penganjur selain menjejaskan momentum pembangunan atlet,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa penganjuran SUKMA Selangor 2026 akan dilaksanakan dalam skala lebih kecil sebagai langkah penjimatan kos, tanpa menjejaskan jumlah sukan yang dipertandingkan mahupun kualiti acara.

Mesyuarat tersebut turut membincangkan beberapa perkara penting termasuk pertimbangan acara rayuan yang tidak mencapai jumlah penyertaan minimum, pengurusan logistik, serta penjajaran semula peraturan SUKMA agar selari dengan perkembangan semasa. Selain itu, laporan awal persiapan bagi SUKMA Kelantan 2028 juga dibentangkan. (Gambar UKK KBS)

Sejak diperkenalkan pada tahun 1986, SUKMA kekal sebagai platform penting dalam pembangunan bakat sukan negara di peringkat akar umbi serta menjadi medan penyatuan antara negeri melalui semangat kesukanan.

Sejak diperkenalkan pada tahun 1986, SUKMA kekal sebagai platform penting dalam pembangunan bakat sukan negara di peringkat akar umbi serta menjadi medan penyatuan antara negeri melalui semangat kesukanan.

Tambah beliau, temasya ini turut memainkan peranan besar dalam menyediakan atlet, pegawai teknikal dan sukarelawan menjelang Sukan SEA 2027, apabila Malaysia bakal menjadi tuan rumah.

Dalam masa sama, Jawatankuasa Tertinggi SUKMA mengambil maklum mengenai krisis tenaga global dan cabaran ekonomi semasa, namun kekal komited memastikan penganjuran SUKMA berjalan lancar dengan penekanan terhadap kecekapan perbelanjaan serta kawalan kos.