Anwar vs Rafizi: Angka ekonomi buktikan kerja tiga tahun PMX

OLEH FAIRUL AL QASAS

Antara Anwar dan Rafizi, aku pilih Anwar. Bukan sebab aku walanon, tapi sebab Anwar adalah PM semasa yang boleh buat kerja, sedang buat kerja dan terbukti buat kerja.

Kalau Anwar ini jenis malas macam Mahiaddin, main golf masa krisis atau perlahan macam Ismail Sabri, memang aku pilih calon lain untuk PM.

Tapi sebaliknya Anwar berjaya wujudkan ketahanan ekonomi Malaysia sehingga dipuji JP Morgan. 

Ini adalah bukti selama tiga tahun ini, Anwar dan pasukan dia buat kerja. Kita pun nampak kan? Akui sahaja.

Kita semua pun tahu, inflasi negara pada kadar serendah 2.9% dan sangat terkawal, harga barang juga cukup dan terkawal.

Peluang pekerjaan meningkat, pengangguran menurun, ia selari dengan pelaburan yang masuk. 

Pelaburan Langsung Asing (FDI) Malaysia menunjukkan aliran positif dengan kedudukan terkumpul mencecah RM1,021.5 bilion pada S3 2025. 

Aliran masuk bersih FDI mencatatkan RM40.4 bilion (2023), RM51.5 bilion (2024), dan terus kukuh pada 2025.

Para pekerja dapat kenaikan gaji – Penjawat awam (naik 15%) dan pekerja swasta (dapat RM1700 minima), belum kira GLC lagi.

Malaysia menuju negara berpendapatan tinggi. Pelaburan yang masuk pun jenis yang perlukan kemahiran tinggi untuk rakyat tempatan. 

Rakyat marhaen dapat subsidi, STR dan SARA. Kiranya semua terbela di bawah Kerajaan Madani 

Persepsi rasuah menurun ke tangga 54, banding 57 sebelum ini.

Tapi rasuah masih ada, sebab tu Rafizi marah. Ya masih ada dan banyak. Sebab kita baru turun ke tangga 54. Bukan ke tangga 25, bukan juga 10.

PMX jadi pemimpin ke-10 paling berpengaruh dunia Islam. 

Ala itu tak penting kalau tak dapat kawal Azam Baki dan Farhash.

Penting bro, PMX jadi suara untuk umat Islam dan suara yang berani nyatakan pendirian menolak hegemoni US, lawan kezaliman Israel dan berani untuk ke depan ajak negara-negara bertelagah untuk berdamai. 

Sebab itu bila PMX telefon, pemimpin lain angkat. Perbincangan mudah dan hasilnya kapal kita dapat lalu Selat Hormuz. 

PMX pemimpin yang paling banyak buat program agama dan dikelilingi ulama.

PMX berjaya bawa kestabilan kepada politik Malaysia. Kestabilan hasilkan kemakmuran ekonomi. Kita sedang nikmati sekarang. 

Kalau kita pilih jatuhkan PMX, disebabkan dia tak boleh buat sesuatu yang mungkin akan menjejaskan Kerajaan Perpaduan, kau puas hati ke?

Kau nak tengok negara kembali terumbang-ambing? Macam zaman PN?

Kau ada calon PM lain? Rafizi? Ok Rafizi boleh menang 112 ke? Atau Rafizi boleh tarik sokongan parti lain untuk sokong dia?

Jangan terikut dengan emosi. Lebih baik jadi kerajaan dari jadi pembangkang. 

Berpijak di bumi yang nyata. Kita belum menang sepenuhnya. Tapi kita masih mampu buat lebih baik dari dulu. 

Anwar Ibrahim tak sempurna. Ya dia banyak kekurangan. Tapi dia terbaik buat masa ini. Malaysia dan dunia memerlukan beliau.

BACA JUGA Syahredzan bidas ahli politik Singapura isu Selat Hormuz dan kenyataan menghasut terhadap Malaysia