Ada tokoh agama guna hujah dangkal kelirukan isu minyak- PMX
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengecam seorang “ulama terkenal” yang didakwanya mengeluarkan pandangan tidak tepat dan mengelirukan berhubung isu kenaikan harga minyak dunia.
Walaupun tidak menyebut nama, kenyataan itu dipercayai merujuk kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Abdul Hadi Awang yang sebelum ini mendakwa Malaysia tidak mempunyai sebab untuk menaikkan harga bahan api kerana tidak terlibat dalam sekatan di Selat Hormuz.
Bercakap dalam program perhimpunan bulanan Kementerian Pengangkutan di Putrajaya, Anwar berkata pandangan sedemikian menunjukkan “pengetahuan yang jelas dangkal” mengenai isu pasaran minyak global.
Beliau berkata, kenyataan seperti itu bukan sahaja tidak membantu menjelaskan keadaan sebenar, malah boleh mengelirukan orang ramai kerana dibalut dengan hujah agama dan rujukan tertentu.
“Ada ulama yang terkenal, yang ada ramai pengikut memberi pandangan umpamanya dengan mengatakan ‘tak betul, harga minyak tak naik, sebaliknya hanya di Malaysia saja naik,’” katanya.
“Itu kefahaman kedangkalan ilmu yang ketara, tetapi diselubung dengan fahaman agama dan al-Quran menyebabkan orang ramai agak percaya, tetapi dia tidak membantu malah mengelirukan,” kata Anwar lagi.
Semalam, Abdul Hadi Awang dilaporkan mendakwa kerajaan tidak mempunyai alasan untuk menaikkan harga minyak kerana Malaysia bukan antara negara yang disekat oleh Iran di Selat Hormuz, selain menyentuh isu sumber minyak negara.
Dalam masa sama, Anwar menjelaskan terdapat pelbagai faktor global yang mempengaruhi harga minyak termasuk kos pengangkutan, insurans dan perubahan laluan perdagangan akibat ketegangan di Asia Barat, yang memberi kesan langsung kepada harga akhir.
Beliau turut mengingatkan bahawa Islam melarang percampuran antara kebenaran dan kebatilan dalam menyampaikan sesuatu pandangan, serta menyifatkan situasi semasa sebagai ujian untuk mendidik masyarakat memahami realiti sebenar ekonomi global.