Isu harga minyak: Tiga kelompok rakyat tapi pembenci lebih mendominasi
Oleh DR YUSRI IBRAHIM
Berkaitan isu kenaikan harga minyak sekarang, mengikut pemerhatian saya ada tiga kelompok utama rakyat Malaysia.
Pertama, kelompok yang memahami ini adalah krisis global dan di luar kawalan kerajaan.
Walaupun bimbang dengan situasi semasa, mereka tetap menerima polisi harga minyak yang ditetapkan oleh kerajaan.
Antaranya, termasuk mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter, pemberian subsidi tunai diesel sebanyak RM300 sebulan kepada golongan layak, serta subsidi diesel bagi pengangkutan awam pada kadar RM1.88 seliter.
Selain itu, subsidi diesel untuk pengangkutan barangan ditetapkan pada RM2.15 seliter, manakala subsidi diesel nelayan ialah RM1.65 seliter.
Mereka juga tahu kerajaan juga menyediakan tambahan kuota subsidi RON95 kepada pemandu e-hailing, selain mengekalkan harga diesel di Sabah dan Sarawak pada kadar RM2.15 seliter, serta pelbagai langkah lain.
Namun, kelompok pertama ini majoritinya warga yang senyap. Mereka tidak menonjolkan pendirian di khalayak awam khususnya di media sosial.
Mereka juga tidak berminat untuk menyertai perbahasan menyokong polisi kerajaan, apatah lagi untuk berbalah dengan yang menentang.
Lebih kreatif
Kedua, kelompok yang juga memahami ini adalah krisis global dan di luar kawalan kerajaan.
Namun, mereka mengharap kerajaan lebih kreatif untuk menangani situasi ini dengan menggunakan formula-formula yang lebih konstruktif dan adil untuk semua segmen rakyat.
Contohnya, pengguna kenderaan diesel yang langsung tiada subsidi.
Mungkin kerajaan boleh memperkenalkan polisi subsidi seumpama BUDI95 juga, supaya semua warganegara yang berlesen memandu dan memiliki pendaftaran kenderaan diesel memperolehi manfaat seadanya.
Secara umumnya majoriti kelompok ini juga senyap, mereka tidak bising-bising, mereka lebih cenderung untuk beraksi di kotak undi berbanding dalam ruang awam.

Ketiga, kelompok pembenci. Mereka juga tahu ini adalah krisis global dan di luar kawalan kerajaan.
Namun, mereka memang benci PMX dan Kerajaan Perpaduan, apa sahaja daripada kerajaan semuanya negatif, baca tajuk sahaja terus maki.
Mereka menunggang isu ini seoptimum mungkin untuk menghentam kerajaan, memaki dan mencaci, peluang keemasan yang rugi jika tidak dimanfaatkan.
Majoriti kelompok ini vokal dan bising, mereka tonjolkan pendirian dengan jelas, mereka sanggup berbalah di media sosial dengan segelintir kelompok yang menyokong polisi kerajaan.
Mutakhir ini, kelompok ini yang banyak mengawal arus dalam media sosial, menguasai naratif awam.
BACA JUGA Papagomo buat hal lagi dan lagi, ini tindakan bakal diambil SKMM