Dakwaan nepotisme tidak berasas, saman fitnah RM5 juta Dzulkefly terhadap Najib selesai

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan bahawa pengakuan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung nepotisme berkaitan pelantikan anaknya dalam sebuah badan amanah berkaitan kerajaan sekali gus membuktikan dakwaan tersebut tidak berasas.

Dr Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor dari AMANAH dalam kenyataan media hari ini turut berkongsikan pengakuan Najib:

“Saya mengambil maklum bahawa aduan beliau di mahkamah adalah bahawa hantaran saya itu didakwa memberi gambaran seolah-olah beliau mengamalkan nepotisme berhubung pelantikan anak perempuannya, Puan Nurul Iman, ke Lembaga Pengarah AIM Solutions Group Bhd pada 30 April 2018 dan ke Lembaga Pemegang Amanah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) pada 1 Oktober 2018”.

“Saya menerima bahawa beliau tidak terlibat dalam pelantikan-pelantikan tersebut dan bahawa tiada unsur nepotisme di pihak beliau,” kata Najib.

Menurut Dr Dzulkefly, beliau telah bersetuju untuk memberhentikan saman sivil fitnah tersebut dan seterusnya menganggap perkara tersebut selesai hasil persetujuan yang telah dicapai oleh kedua-dua pihak.

Dalam masa sama, wakil rakyat dari AMANAH itu merakamkan penghargaan kepada Mahkamah Tinggi, khususnya Hakim Mahazan Mat Taib, atas kerjasama dalam menyelesaikan kes tersebut secara baik dan penuh hormat.

Selain itu, Dr Dzulkefly juga mengucapkan terima kasih kepada barisan peguam, ahli keluarga, rakan seperjuangan serta media yang memberikan sokongan dan liputan sepanjang proses undang-undang berlangsung.

Terdahulu, saman fitnah yang difailkan Dr Dzulkefly terhadap Najib pada 2022 berhubung dakwaan nepotisme dalam hantaran Facebook berkaitan pelantikan anak perempuannya, Nurul Iman sebagai ahli lembaga Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) telah selesai.

Dr Dzulkefly memfailkan saman tersebut terhadap Najib pada 31 Disember 2021 dengan mendakwa hantaran fitnah itu diterbitkan dengan niat untuk memalukan dirinya selain bermotifkan politik bagi menjejaskan reputasinya.

BACA JUGA Isu harga minyak: Tiga kelompok rakyat tapi pembenci lebih mendominasi