Enam kapal Malaysia dijangka melalui Selat Hormuz secara berperingkat

Enam kapal milik Malaysia yang masih terkandas di Selat Hormuz dijangka dibenarkan melalui laluan strategik itu secara berperingkat oleh kerajaan Iran.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata Malaysia akan terus memantau rapi pergerakan enam kapal terbabit.

Menurutnya, setakat ini hanya sebuah kapal berjaya melepasi perairan tersebut, yang menjadi laluan kira-kira satu perlima bekalan minyak dan gas asli cecair (LNG) dunia.

“Sekarang, kapal kita tak boleh lalu kerana Selat Hormuz ditutup sepenuhnya walaupun kelulusan untuk kapal kita lalu dah diberi.

“Setakat ini hanya satu kapal selamat keluar dan kini menuju kilang penapisan minyak di Pengerang, Johor.

“Ada enam lagi terkandas, kita tengok macam mana dan akan terus memantau,” katanya petang tadi, dipetik BH.

Pada 2 Mac lalu, sebuah kapal milik Malaysia yang memuatkan kira-kira satu juta tong minyak mentah Basrah Heavy dilaporkan berjaya keluar dari Selat Hormuz dan dijangka berlabuh di Pengerang, Johor bulan ini untuk proses pemunggahan.

Kapal disewa oleh Petco, unit kepada Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) itu antara tujuh kapal Malaysia yang diberikan kebenaran melalui selat berkenaan.

BACA JUGA Dakwaan nepotisme tidak berasas, saman fitnah RM5 juta Dzulkefly terhadap Najib selesai