Shell akui kemungkinan ada stesen terputus bekalan
Syarikat minyak dan gas, Shell memaklumkan pihaknya sedang memantau rapat situasi semasa yang disifatkannya dinamik, sambil memberi keutamaan kepada usaha memastikan kesinambungan bekalan bahan api di seluruh rangkaiannya.
Menurut kenyataan dikeluarkan syarikat itu, langkah berkenaan dilaksanakan selaras dengan pengumuman terkini oleh kerajaan dalam menguruskan keadaan semasa yang memberi kesan kepada permintaan dan pengedaran bahan api.
Shell turut menjelaskan bahawa pihaknya sedang berusaha keras untuk memastikan bekalan bahan api kekal konsisten di semua stesen.
Namun, jelasnya, peningkatan permintaan secara sementara berpotensi menyebabkan gangguan bekalan di beberapa lokasi tertentu.
“Walaupun kami berusaha keras untuk memastikan bekalan bahan api yang konsisten di stesen-stesen kami, mungkin terdapat peningkatan permintaan sementara, yang boleh mengakibatkan kekurangan bahan api secara sementara di beberapa stesen,” menurut kenyataan tersebut hari ini.
Sehubungan itu, Shell memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dialami pelanggan dan memberi jaminan akan terus mengambil langkah sewajarnya bagi memulihkan bekalan di stesen-stesen terjejas secepat mungkin.
Dalam masa sama, syarikat itu turut merakamkan penghargaan atas sokongan dan kefahaman berterusan daripada orang ramai dalam menghadapi situasi semasa.
BACA JUGA Enam kapal Malaysia dijangka melalui Selat Hormuz secara berperingkat