Apa permintaan PMX pada menteri Bangladesh?

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Malaysia untuk terus melindungi kebajikan ratusan ribu pekerja Bangladesh yang kini berkhidmat dalam pelbagai sektor utama termasuk pembinaan dan pembuatan.

“Kerajaan kekal komited memastikan hak dan kebajikan pekerja asing terus terpelihara selaras dengan undang-undang serta piawaian ditetapkan,” katanya menerusi laman media sosial rasmi beliau.

Dalam masa sama, Perdana Menteri turut menekankan keperluan mendesak untuk mengurangkan kos pengambilan pekerja asing yang disifatkan membebankan kedua-dua pihak, khususnya pekerja itu sendiri.

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut menggesa kerajaan Bangladesh supaya mempertimbangkan langkah-langkah konkrit bagi menurunkan kos berkenaan demi memastikan kesejahteraan pekerja terus terjamin.

PMX menerima kunjungan hormat daripada Menteri Buruh dan Pekerjaan serta Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh, Ariful Haque Choudhury di Perdana Putra, Putrajaya, semalam.

Perkara tersebut dinyatakan Anwar ketika beliau menerima kunjungan hormat Menteri Buruh dan Pekerjaan Bangladesh, Ariful Haque Choudhury bersama-sama Penasihat kepada Perdana Menteri Bangladesh, Dr Mahdi Amin di Putrajaya semalam.

Pertemuan tersebut bagi membincangkan kerjasama dua hala serta isu berkepentingan kedua-dua negara.

“Saya ulangi ucapan tahniah kepada Tarique Rahman yang dilantik sebagai Perdana Menteri Bangladesh pada 17 Februari lalu, dan sekali lagi mengulangi jemputan agar beliau berkunjung ke Malaysia dalam masa terdekat bagi memperkukuh hubungan dua hala yang sedia erat,” kata Perdana Menteri.

Untuk rekod, Tarique, 60, yang juga Pengerusi Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) merupakan anak kepada bekas Perdana Menteri, Khaleda Zia dan bekas Presiden, Ziaur Rahman.

Sehingga 31 Disember 2024, terdapat 898,970 orang pekerja asing terdiri daripada warga Bangladesh di negara ini.

Mereka mewakili 37.96 peratus daripada keseluruhan 2,368,422 pekerja asing di negara ini sekaligus peratusan terbesar pekerja asing di Malaysia.

BACA JUGA Rupanya ada beberapa sebab Rozali Ismail lepas jawatan di Puncak Niaga