Walau dunia tidak menentu, pertumbuhan ekonomi Malaysia diunjur naik kepada 4.4 peratus

Bank Dunia menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi 2026 pada kadar 4.4 peratus daripada 4.1 peratus walaupun berdepan ketidaktentuan global.

Menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia untuk Malaysia, Dr Apurva Sanghi, negara ini disokong oleh asas makroekonomi yang stabil serta daya tahan institusi kewangan yang semakin mantap.

Beliau berkata, asas ekonomi Malaysia tetap berdaya tahan walaupun persekitaran semasa tidak menentu sekaligus memasuki tempoh krisis daripada kedudukan yang kukuh, lapor The Edge Malaysia.

Jelasnya, beberapa petunjuk utama ekonomi menunjukkan peningkatan berbanding sebelum pandemik Covid-19 dengan kadar pengangguran kini berada di bawah 3.0 peratus, terendah sejak 2014.

Dalam masa sama, katanya, pendapatan per kapita meningkat kepada sekitar RM49,000 berbanding RM43,000 pada 2019.

Selain itu, kata Dr Apurva, pertumbuhan pendapatan isi rumah median turut mencatat peningkatan 6.0 peratus pada 2025, menandakan pemulihan ekonomi yang lebih inklusif.

“Inflasi pula kekal terkawal pada sekitar 1.6 peratus, walaupun sedikit lebih tinggi berbanding 0.7 peratus sebelum pandemik.

“Defisit fiskal juga menunjukkan trend penurunan secara beransur-ansur hasil pelaksanaan reformasi subsidi dan langkah konsolidasi fiskal oleh kerajaan,” katanya.

Dr Apurva berkata demikian pada taklimat media Laporan Malaysia Economic Monitor (MEM) Bank Dunia bagi April 2026, di ibu negara, semalam.

Tambahnya, Malaysia turut dilihat sebagai destinasi lindung nilai dalam kalangan pelabur serantau apabila aliran masuk lebih AS$2 bilion ke pasaran bon direkodkan baru-baru ini, tertinggi dalam tempoh 10 bulan.

Walau bagaimanapun, jelasnya, cabaran tetap wujud, khususnya dari segi nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kini melebihi 65 peratus.

Menurutnya, keadaan itu memerlukan disiplin fiskal berterusan bagi memastikan sasaran pengurangan hutang dapat dicapai menjelang 2030.

Unjuran Bank Dunia itu berada dalam julat pertumbuhan ekonomi yang diunjurkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini iaitu antara empat hingga lima peratus, di sebalik kesan susulan geopolitik di Asia Barat.

BACA JUGA Apa permintaan PMX pada menteri Bangladesh?