Pemergian Dr Kamal Kharazi: PM Anwar gesa perang dihentikan, dunia hilang diplomat luar biasa

Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa dukacita mendalam atas pemergian bekas Menteri Luar Iran, Dr Kamal Kharazi, yang disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada dunia diplomasi antarabangsa.

Perdana Menteri berkata, kematian Ketua Majlis Strategik Hubungan Luar Iran itu berlaku secara tragis susulan kecederaan yang dialami akibat serangan pengganas Zionis.

Anwar berkata, beliau mula mengenali Dr Kharazi ketika tokoh itu berkhidmat sebagai wakil Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, dan hubungan persahabatan mereka berterusan sepanjang tempoh Allahyarham menerajui Kementerian Luar Iran.

“Beliau seorang yang berilmu tinggi dan memiliki keperibadian yang tulus serta mesra dan sentiasa berfikiran matang dan berbudi bahasa.

“Dunia telah kehilangan seorang diplomat luar biasa, dan saya pula kehilangan seorang sahabat yang amat dihargai,” katanya menerusi kenyataan sebentar tadi.

Sehubungan itu, beliau merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta seluruh rakyat Iran atas kehilangan tersebut.

“Pemergian beliau menjadi peringatan terhadap harga yang amat mahal akibat konflik ini. Perang ini mesti dihentikan,” kata Anwar lagi.

Terdahulu, Kamal Kharazi, dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya dalam serangan Amerika Syarikat (AS)–Israel sebelum ini.

Media Iran melaporkan Kharazi, 82, yang juga tokoh kanan diplomasi Iran menghembuskan nafas terakhirnya ketika menerima rawatan susulan kecederaan serius akibat serangan pengganas terbabit.

Dalam serangan pada 1 April itu, isteri Kharazi telah terkorban.

Kharazi yang mempunyai dua anak merupakan profesor dalam bidang Pengurusan dan Psikologi Pendidikan di Universiti Tehran sejak 1983.

Beliau juga merupakan antara ahli pengasas Institut Penyelidikan Islam di London.

BACA JUGA Dakwaan Hadi diperbetul: ‘Umat Islam parti Pas yang terus ditipu’