ADUN Pas pertahan Hadi Awang, dakwa minyak Malaysia tak lalu Selat Hormuz
Seorang ADUN Pas mempertahankan kenyataan Presiden parti itu, bahawa kenaikan harga minyak tidak sepatutnya berlaku kerana menurutnya, Malaysia mengeluarkan bekalan minyak sendiri.
ADUN Jabi, Dr Azman Ibrahim mempersoalkan rasional kerajaan menunggu kapal tangki melalui Selat Hormuz sebelum menurunkan harga minyak, sambil mendakwa minyak Malaysia sebenarnya tidak melalui perairan tersebut.
Beliau mendakwa, minyak mentah dari pelantar di perairan Terengganu mampu disalurkan untuk kegunaan negara ini.
“Di Perairan Terengganu terdapat kira-kira 120 buah pelantar minyak yang sedang beroperasi. Minyak mentah dari pelantar akan disalur ke loji penapisan minyak Petronas Kerteh sama ada melalui saluran paip dasar laut atau kapal tangki.
“Di loji Kerteh ini minyak mentah diproses menjadi pelbagai produk petroleum untuk kegunaan negara kita.
“Kenapa nak tunggu kapal tangki lepas lalu Selat Hormuz baru nak turunkan harga minyak? Saya ulang! Minyak kita tak lalu Selat Hormuz!,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Perkongsian itu menerima banyak kritikan daripada orang ramai yang mempersoalkan kefahaman beliau mengenai rantaian bekalan petroleum dan mekanisme penetapan harga bahan api.
Mereka membangkitkan isu lebih penting, adakah cukup pengeluaran minyak di Malaysia untuk menampung permintaan rakyat.
Kenyataan bahawa harga minyak tidak sepatutnya naik hanya kerana Malaysia ada pengeluaran sendiri nampak logik, tetapi hakikatnya tidak begitu dalam sistem ekonomi sebenar.
Seorang pengguna Facebook, Mohd Azwandie turut menjelaskan perkara ini dengan terperinci di ruangan komen Facebook ADUN berkenaan.
Menurutnya, memang betul Malaysia mempunyai pengeluaran minyak mentah khususnya di Terengganu, namun minyak mentah bukan terus jadi petrol yang orang ramai isi di pam minyak.
Minyak mentah ini adalah komoditi global yang didagangkan mengikut harga pasaran dunia seperti Brent.
Malaysia sendiri menjual sebahagian minyak mentah ke pasaran antarabangsa dan pada masa yang sama juga mengimport minyak mentah atau produk petroleum tertentu yang lebih sesuai dengan keperluan penapisan tempatan.
Ini bermaksud harga bahan api di Malaysia tetap terkesan dengan pergerakan harga global, walaupun minyak itu dihasilkan dalam negara.
Bila berlaku ketegangan atau gangguan di laluan utama dunia seperti Selat Hormuz, ia memberi kesan kepada keseluruhan bekalan global. Apabila bekalan terganggu, harga akan naik di seluruh dunia termasuk Malaysia.
BACA JUGA Dari Bandar Pintar ke Bandar AI, PMX garis lonjakan strategik negara