YB Adam Adli balas kad raya murid dengan tulisan tangan, hadir sendiri raikan sambutan Aidilfitri sekolah

BUKIT BARU, 10 April 2026 — Dalam era komunikasi digital yang serba pantas, satu kisah penuh makna dan menyentuh hati tercipta di SK Datuk Palembang apabila Adam Adli Abd Halim hadir sendiri ke sekolah tersebut selepas menerima kad ucapan Hari Raya daripada sekumpulan murid. (Gambar: FB YB Adam)

Kehadiran beliau pagi tadi adalah bagi meraikan Sambutan Hari Raya Aidilfitri sekolah berkenaan, selain membalas keikhlasan 12 murid yang terdiri daripada para pengawas sekolah yang telah mengutus kad raya kepadanya sebelum ini.

Lebih istimewa, Adam Adli bukan sahaja hadir secara fizikal, malah membalas ucapan tersebut dengan sekeping kad raya tulisan tangan sebagai tanda penghargaan terhadap usaha dan ingatan tulus para pelajar.

Antara murid Tahun 6 yang sempat menerima sendiri balasan tersebut ialah Hasya, Dahlia dan Adra, yang jelas teruja dengan kehadiran pemimpin muda itu.

Menurut sumber, antara petikan menarik dalam kad yang dihantar oleh murid-murid berkenaan berbunyi, “Jikalau ada masa lapang, datanglah ke sekolah kami. Kalau ada rezeki lebih, hulurkanlah sedikit duit raya untuk kami sekumpulan. Sudah baca harap balas.” Kata-kata spontan itu menjadi pencetus kepada kehadiran beliau ke sekolah tersebut.

Ketibaan Adam Adli disambut mesra oleh Guru Besar sekolah, Puan Hajah Nor Hamizah binti Daud, bersama lebih 250 pelajar serta warga sekolah dalam suasana sambutan Aidilfitri yang meriah dan penuh kemesraan.

Dalam dunia yang semakin dikuasai medium digital, budaya menghantar kad raya mungkin dilihat semakin dilupakan. Namun kisah ini membuktikan bahawa amalan sederhana itu masih mampu menjadi jambatan ukhwah, menyemai nilai adab serta merapatkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat, khususnya dalam kalangan generasi muda.