Kos kenderaan kekal stabil, PEKEMA bimbang kenaikan caj penghantaran jika konflik berlarutan

FOTO BERITA: Majlis Gema Syawal PEKEMA bersama Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin di Wisma Yayasan PEKEMA, Cyberjaya. 10hb April 2026 (Jumaat)

Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA), Datuk Hj. Mohamed Nazari Noordin, memaklumkan konflik berterusan di Asia Barat dijangka memberi kesan kepada prestasi industri automotif tempatan, khususnya dari segi permintaan kenderaan baharu. Beliau berkata, pihaknya telah mula melihat sedikit penurunan jualan kenderaan selepas Aidilfitri, yang turut dipengaruhi oleh ketidaktentuan geopolitik semasa

“Memang ada penurunan kecil dari segi permintaan kereta baharu. Selain faktor selepas Hari Raya, konflik di Timur Tengah turut memberi kesan kepada keyakinan pembeli,” katanya dalam sidang media di Wisma Yayasan PEKEMA, di sini. Menurut beliau, pengguna kini lebih berhati-hati dalam berbelanja dan cenderung mengutamakan keperluan harian berbanding komitmen besar seperti pembelian kenderaan atau hartanah.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa kos kenderaan masih kekal stabil buat masa ini kerana kebanyakan kenderaan yang diimport ahli PEKEMA adalah dari Jepun, dengan kadar pertukaran mata wang yang masih berpatutan berbanding Ringgit Malaysia. Dalam masa sama, Mohamed Nazari menegaskan cabaran utama industri ketika ini adalah melibatkan logistik dan rantaian bekalan, khususnya akibat kesesakan di pelabuhan tempatan.

“Baru-baru ini, kira-kira 1,500 unit kenderaan terpaksa diturunkan di pelabuhan Filipina kerana tidak dapat diproses di Pelabuhan Klang akibat kesesakan,” jelasnya. Tambah beliau, sekiranya konflik di Asia Barat berlarutan, kos penghantaran dijangka meningkat, sekali gus berpotensi memberi tekanan kepada harga kenderaan pada masa hadapan.

Mengulas prospek pasaran, beliau tidak menjangkakan penurunan mendadak dalam jualan, namun menjangkakan permintaan akan kekal mendatar berbanding tahun lalu, dengan kemungkinan penurunan kecil sekiranya keadaan global terus tidak stabil. “Setakat ini harga masih kekal, tetapi yang membimbangkan adalah kos penghantaran dari Jepun ke Malaysia. Itu antara faktor yang perlu kita pantau,” katanya.

Terdahulu, beliau turut memaklumkan prestasi jualan tahun lalu adalah memberangsangkan dengan kira-kira 300 unit kenderaan berjaya dijual, namun trend semasa menunjukkan pendekatan ‘wait and see’ dalam kalangan pembeli.

Beliau ditemui di Majlis Gema Syawal PEKEMA yang berlangsung turut menghimpunkan kira-kira 800 hingga 1,000 tetamu terdiri daripada ahli persatuan, rakan perniagaan, wakil kementerian, agensi kerajaan serta pengamal media sebagai platform mengukuhkan jaringan industri.

Dalam perkembangan lain, Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia, Mohamed Nazari Noordin, mengumumkan penganjuran Kejohanan Golf PEKEMA 2026 yang dijadual berlangsung pada 18 dan 19 Julai ini, dengan sasaran penyertaan tidak melebihi 300 peserta. Menurut beliau, kejohanan tersebut bukan sahaja terbuka kepada ahli PEKEMA, malah turut dialu-alukan penyertaan daripada orang ramai sebagai usaha mengeratkan hubungan industri dan komuniti.

“Disebabkan tempoh penganjuran hanya dua hari, kita menetapkan sasaran sekitar 300 peserta sahaja. Namun, nilai hadiah telah ditingkatkan kepada RM500,000 berbanding kira-kira RM300,000 tahun lalu,” katanya. Beliau memaklumkan pihaknya sedang merancang kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk persatuan bekas atlet dan golongan karyawan bagi memeriahkan lagi penganjuran kejohanan tersebut, namun perincian lanjut masih dalam perbincangan.