‘Kedah takdak ayaq, nak mandikan jenazah pun payah’
Krisis bekalan air di Kedah mencetuskan kemarahan rakyat apabila masalah yang berlarutan sekian lama kini dilihat semakin parah sehingga menjejaskan urusan paling asas termasuk pengurusan jenazah.
Luahan pengguna platform Threads tular sejak semalam mendedahkan situasi menyayat hati di beberapa kawasan negeri diterajui Pas itu.
Seorang pengguna, dikenali sebagai nuranasaad, berkongsi kisah menyedihkan apabila sebuah keluarga di Kampung Pida 6, Kodiang terpaksa bergantung kepada simpanan air yang terhad untuk menguruskan jenazah.
Menurutnya, jika tiada simpanan tersebut, urusan mandi jenazah mungkin tidak dapat dilakukan dengan sempurna.
“Kesian abah aku cerita. Hari ni ada orang meninggal dunia di Kampung Pida 6, Kodiang.
“Nak mandi jenazah pun tiada air. Tu pun nasib keluarga arwah malam simpan air sikit.
“Masalah air di Kedah ni dah meruncing sangat. Macam hidup zaman 90-an pulak,” luahnya.
Hal sama turut dikongsikan seorang lagi pengguna Threads, alyamahyadin yang meluahkan kekecewaan apabila bekalan air terputus ketika pulang ke Kedah untuk menguruskan pengebumian bapanya.
Dakwanya, masjid juga tidak mempunyai bekalan air sehingga terpaksa mendapatkan air dari tempat lain.
“Masjid takdak ayaq. Nak mandikan jenazah pun kena tadah ayaq tempat lain. Pakcik masjid cakap ‘ni lah SADA (Syarikat Air Darul Aman), sat ada sat takdak’,” katanya.
Menurutnya lagi, masalah bekalan air di negeri itu bukan perkara baharu, sebaliknya telah berlarutan sejak sekian lama tanpa penyelesaian tuntas, walaupun pelbagai janji telah dibuat.
“Isu air tiada ni makan tahun sejak kecil. Pagi raya lagi teruk, nak mandi, ayaq tak keluaq.
“Padahal, dah pasang pam air,” katanya lagi, mempersoalkan keberkesanan usaha kerajaan negeri dalam menangani isu berkenaan.

Sementara itu, pengguna Facebook, Aman Muhammad meluahkan rasa kecewa secara terbuka sehingga mendoakan balasan buruk terhadap kepimpinan negeri.
“Semoga Allah mengazab pemimpin Pas Kedah dengan azab yang pedih kerana menyusahkan dan menzalimi umat Islam sampai nak mandi jenazah umat Islam pun takdak ayaq.
“Amin ya Allah,” kata Aman yang meraih lebih 200 tanda ‘suka’ setakat ini.
Semakan mendapati masalah bekalan air di kawasan tertentu di Kedah berlarutan sejak bertahun-tahun.
Keadaan menjadi lebih meruncing pada musim perayaan Aidilfitri dengan penduduk dilaporkan terpaksa berjaga malam menadah air yang hanya mengalir perlahan.
BACA JUGA Jangan terkeliru naratif Pas dalam isu harga minyak, Faiz kritik Akmal