Terkejut murid belajar bawah khemah, PM arah cari penyelesaian segera

Perdana Menteri mengarahkan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di Jabatan Perdana Menteri (JPM) mencari penyelesaian segera bagi menangani isu murid Sekolah Kebangsaan (SK) Balaban Jaya di Sabah, yang terpaksa belajar di bawah khemah serta di kaki lima masjid.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu amat mengesankan dan tindakan segera wajib dilaksanakan.

“Perkara sebegini cukup mengesankan. Arahan telah diberikan kepada KPM dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri untuk penyelesaian segera.

“Keselesaan dan kebajikan anak-anak dalam menuntut ilmu mesti diberi perhatian utama dan tindakan segera wajib dilaksanakan,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut berkongsikan laporan berkaitan sekolah berkenaan yang disiarkan akhbar tempatan.

Dilaporkan, sekolah itu mengalami kerosakan pada sebahagian infrastruktur susulan pergerakan tanah dan cerun yang menyebabkan sekolah itu tidak berada dalam keadaan selamat.

Dalam laporan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tham Yun Fook, menggesa KPM di peringkat negeri dan Persekutuan supaya segera menangani nasib pelajar di sekolah tersebut, yang dilaporkan terpaksa mengikuti sesi pembelajaran di ruang sementara yang tidak sesuai

BACA JUGA Ayam, telur, beras murah tapi ada masih ‘rindu’ zaman kerajaan 33 bulan