Ini sebabnya Bukit Malut bakal jadi hab akuakultur moden

Bukit Malut di Langkawi bakal dijadikan Zon Ekonomi Perikanan Bersepadu yang akan dilaksanakan menerusi Langkawi Aquaculture and Fisheries Integrated Hub (LAFIH).

Pembangunan itu akan diusahakan syarikat swasta Ausin 18 secara usaha sama dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata transformasi akuakultur moden yang kini dalam fasa penyediaan infrastruktur itu akan berfungsi sebagai hab stok simpanan ikan negara, sekali gus memperkukuh sektor akuakultur dalam kalangan nelayan.

Menurutnya, projek berkenaan turut memberi fokus kepada pembangunan modal insan melalui penubuhan pusat latihan teknologi perikanan moden.

Inisiatif itu, jelasnya, akan membuka peluang kepada Persatuan Nelayan untuk terlibat secara ekuiti sekali gus memberi manfaat terus kepada komuniti akar umbi.

“Bidang akuakultur merupakan alternatif penting bagi memastikan rantaian bekalan makanan kekal mencukupi, khususnya dalam menghadapi ketidaktentuan krisis global.

“Walaupun kos permulaan agak tinggi, namun secara keseluruhan ia lebih rendah berbanding kos di laut, selain hasil yang lebih terjamin dan pasaran yang sedia ada,” katanya baru-baru ini.

Faiz menambah selain ternakan udang, projek tersebut turut melibatkan penternakan ikan seperti bawal emas dan spesies lain yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Rahmah Mesra MADANI Pengerusi LKIM bersama nelayan Langkawi di LKIM Cenang.

Dalam majlis itu, seramai 31 nelayan menerima bantuan peralatan menangkap ikan dengan nilai keseluruhan RM51,425.

BACA JUGA Malaysia di tangga teratas ’20 Negara Paling Disukai di Asia’