Zon Timur catat skor perpaduan tinggi – Yuneswaran
Zon Timur mencatatkan antara skor perpaduan tertinggi di Semenanjung Malaysia, sekali gus mencerminkan kekuatan nilai komuniti, toleransi serta hubungan sosial yang erat dalam kalangan masyarakat setempat.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj ketika merasmikan Majlis Penutupan Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) Peringkat Zon Timur yang berlangsung di AEON Mall, Kota Bharu.

Menurut beliau, dapatan Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2025 menunjukkan skor keseluruhan 0.701 berada pada tahap sederhana tinggi, menandakan usaha berterusan kerajaan dan rakyat dalam memperkukuh perpaduan berada pada landasan yang tepat.
“Lebih membanggakan, Wilayah Timur mencatat skor 0.741, antara yang tertinggi di Semenanjung Malaysia,” katanya yang juga Ahli Parlimen Segamat.
Menurutnya, pencapaian negeri seperti Pahang yang merekodkan skor tertinggi di Malaysia membuktikan perpaduan boleh dibina secara nyata melalui tadbir urus yang baik, pembangunan inklusif dan penglibatan komuniti yang aktif.
Dalam pada itu, Yuneswaran menegaskan bahawa dalam kerangka Malaysia MADANI, perpaduan bukan sekadar elemen sosial, sebaliknya merupakan teras utama dalam pembinaan negara bangsa yang kukuh dan berdaya tahan.
Katanya, konsep negara bangsa tidak boleh ditafsir secara sempit sebagai satu kaum satu budaya, tetapi perlu dilihat sebagai gabungan kepelbagaian rakyat yang bersatu di bawah satu identiti nasional bersama.
“Nilai perkongsian, rasa kekitaan, integriti serta tanggungjawab terhadap keselamatan dan kestabilan negara merupakan asas penting dalam membentuk identiti nasional,” ujar wakil rakyat dari PKR itu.
Kestabilan negara
Yuneswaran turut menekankan bahawa perpaduan adalah prasyarat kepada segala bentuk kemajuan negara, kerana tanpa perpaduan, pembangunan boleh menjadi tidak seimbang, kepercayaan sosial terhakis dan kestabilan negara mudah tergugat.
“Apabila rakyat bersatu padu, kita bukan sahaja mampu mengurus kepelbagaian dengan baik, malah dapat menjadikan perbezaan sebagai kekuatan strategik untuk memacu kemajuan negara,” katanya.
Menyentuh mengenai cabaran semasa, Yuneswaran tidak menafikan isu berkaitan etnisiti, media, politik, agama dan jurang sosial masih menjadi faktor utama yang mempengaruhi hubungan antara komuniti.
Tambahnya, dalam era digital yang pantas, penyebaran maklumat tanpa kawalan turut memberi kesan langsung terhadap persepsi masyarakat, sekali gus memerlukan pendekatan lebih strategik.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pendekatan bersifat umum atau program sekali sahaja tidak lagi relevan, sebaliknya kerajaan kini memberi penekanan kepada pendekatan bersasar yang lebih menyeluruh merentas generasi dan lapisan masyarakat.
Pendekatan tersebut, katanya, merangkumi pengukuhan ekosistem perpaduan dalam bidang pendidikan, komuniti, agama, belia serta pembangunan sosioekonomi.
Mengulas penganjuran SMP Zon Timur, beliau menyifatkannya sebagai langkah penting dalam membina momentum ke arah Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan yang dijadual berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah pada 11 hingga 14 Jun depan.
Dalam masa sama, Yuneswaran turut menyeru semua pihak agar terus memainkan peranan sebagai agen perpaduan dalam komuniti masing-masing, dengan menekankan bahawa langkah kecil seperti membina hubungan, memupuk kepercayaan dan menyemai nilai kebersamaan mampu memberi impak besar kepada pembinaan negara bangsa yang harmoni dan sejahtera.
“Perpaduan bukan sekadar warisan yang perlu dipelihara, tetapi satu legasi yang mesti terus diperkukuh untuk generasi akan dating,” kata beliau lagi.
BACA JUGA Malaysia di tangga teratas ’20 Negara Paling Disukai di Asia’