Bang Mat nasihat rakyat urus perbelanjaan berhemah
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menyeru rakyat agar menyambut Aidilfitri secara sederhana dan mengelakkan pembaziran dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bersama warga Parlimen Kota Raja.
Menurutnya, sambutan sederhana tidak mengurangkan makna perayaan, sebaliknya memberi ruang untuk mengeratkan hubungan sesama masyarakat.
“Kita raikan Aidilfitri dengan penuh kesederhanaan, sekadar yang perlu, tanpa pembaziran. Yang penting kita dapat berkumpul, berjumpa dan mengeratkan silaturahim,” katanya yang mesra disapa sebagai Bang Mat.
Dalam majlis sama, beliau turut menyampaikan Sumbangan Projek Mesra Rakyat 2026 kepada penduduk setempat.
Beliau berkata, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada tanggungjawab wakil rakyat untuk menjaga kebajikan serta memahami keperluan komuniti.
“Menjadi tanggungjawab kami di Parlimen untuk sentiasa menjaga kebajikan serta memahami keperluan masyarakat setempat,” katanya lagi.
Mengulas keadaan ekonomi semasa, beliau menasihatkan orang ramai supaya mengurus perbelanjaan dengan lebih berhemah dan mengutamakan perkara yang benar-benar memberi manfaat.
Majlis itu turut dihadiri penduduk setempat yang memeriahkan sambutan dalam suasana sederhana tetapi penuh kebersamaan.