Maritim Perak tahan dua vesel nelayan, sitaan melebihi RM4.5 juta

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menahan dua vesel nelayan tempatan dalam dua operasi berasingan atas kesalahan perikanan dan imigresen, Jumaat lalu.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Mohamad Shukri Khotob berkata, tangkapan pertama melibatkan vesel pukat tunda kelas B1 yang dikendalikan seorang tekong tempatan bersama dua awak-awak berstatus pemastautin tetap.

Menurutnya, vesel tersebut disyaki melanggar syarat lesen apabila menangkap ikan kurang daripada lapan batu nautika dari daratan, iaitu kira-kira dua batu nautika barat laut Pulau Pangkor.

“Tangkapan dibuat semasa rondaan di bawah Op Sayong, Op Pintas dan Op Tiris,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, hasil tangkapan turut dirampas dengan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan mencecah RM1.5 juta sebelum dibawa ke Jeti LKIM Kampung Acheh untuk tindakan lanjut.

Dalam operasi kedua, sebuah lagi vesel ditahan di kedudukan kira-kira 11.7 batu nautika barat daya Sungai Belukang kerana disyaki memukat ikan kurang daripada 15 batu nautika dari daratan.

Pemeriksaan lanjut mendapati vesel itu dikendalikan empat kru warga Myanmar termasuk tekong, yang disyaki tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah serta tinggal lebih masa di negara ini.

Vesel berkenaan turut diiring ke Jeti LKIM Kampung Acheh, dengan anggaran nilai keseluruhan sitaan melebihi RM3 juta.

Mohamad Shukri berkata, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang perikanan dan imigresen.

“Tindakan tegas akan terus diambil bagi memastikan kedaulatan perairan negara, keselamatan komuniti maritim serta kelestarian sumber perikanan terus terpelihara,” katanya.