Esok baharu PN hendak maklum kekosongan jawatan ketua pembangkang
Perikatan Nasional (PN) hanya akan memaklumkan kepada Speaker Dewan Rakyat mengenai kekosongan jawatan ketua pembangkang, esok.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata beliau telah mengarahkan Setiausaha Agung PN, Datuk Takiyuddin Hassan untuk menghantar surat pemakluman tersebut.
Langkah itu menyusuli tindakan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dilaporkan telah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai ketua pembangkang kepada kepimpinan tertinggi PN.
“Esok akan dihantar surat pemakluman kekosongan jawatan ketua pembangkang buat masa ini,” kata Samsuri kepada pemberita.
Menurutnya, kekosongan itu berlaku secara automatik sebaik sahaja Hamzah melepaskan jawatan tersebut, tanpa memerlukan keputusan menerima atau menolak oleh kepimpinan gabungan.
Samsuri berkata, sementara Dewan Rakyat belum bersidang, parti-parti dalam PN akan terus bergerak mengikut kapasiti masing-masing.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa PN akan melantik ketua pembangkang baharu sebelum sidang Parlimen seterusnya.
Jawatan ketua pembangkang sebelum ini disandang oleh Hamzah selepas Pilihan Raya Umum ke-15, berdasarkan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen daripada Bersatu dalam PN yang menjadi blok pembangkang terbesar di Dewan Rakyat.
Namun, kedudukan itu kemudian menjadi perhatian apabila beliau dipecat daripada Bersatu, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai kelayakan untuk terus memegang jawatan tersebut atas tiket parti.
Perkembangan itu menjadikan isu jawatan ketua pembangkang sebagai topik hangat dalam kalangan kepimpinan PN, dengan perbincangan mengenai keperluan menyusun semula kepimpinan pembangkang.
Menurut takwim Parlimen, Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-15 dijadual berlangsung dari 22 Jun hingga 16 Julai ini.