Tuntutan AS berlebihan, rundingan kini tergantung

Iran memberi isyarat tegas bahawa rundingan dengan Amerika Syarikat berdepan kebuntuan sekiranya Washington terus mengemukakan tuntutan yang disifatkan sebagai “berlebihan” dan “menyalahi undang-undang”.

Menurut laporan Anadolu Agency yang memetik kenyataan rasmi Kementerian Luar Iran, jurucakapnya Esmaeil Baghaei menegaskan kejayaan rundingan bergantung kepada kesungguhan serta niat baik pihak Amerika.

“Kejayaan proses diplomatik ini bergantung pada kesungguhan dan niat baik pihak lawan, tidak mengemukakan tuntutan berlebihan dan menyalahi undang-undang, serta menerima hak dan kepentingan sah Iran,” katanya.

Baghaei berkata rundingan yang berlangsung di Pakistan itu berjalan berterusan sejak awal Sabtu, dengan kedua-dua pihak bertukar mesej dan draf teks.

Antara isu utama yang dibincangkan termasuk program nuklear Iran, keselamatan di Selat Hormuz, pelonggaran sekatan ekonomi, pampasan perang serta penghentian konflik di rantau berkenaan.

Beliau turut menegaskan bahawa Tehran tidak melupakan rekod Washington yang didakwa pernah mungkir janji, selain menyifatkan tindakan bersama Israel dalam konflik terdahulu sebagai faktor yang menjejaskan kepercayaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Fars News Agency menafikan laporan media Barat yang mendakwa wujud ketegangan serius antara kedua-dua delegasi sepanjang rundingan.

Pakistan menjadi lokasi rundingan yang dilihat sebagai antara saluran diplomatik paling signifikan antara kedua-dua negara dalam beberapa dekad, khususnya sejak hubungan terputus selepas 1979. Perbincangan ini berlangsung dalam suasana gencatan senjata sementara yang masih rapuh, sekali gus meletakkan tekanan kepada kedua-dua pihak untuk mencapai kemajuan nyata.