Cubaan seludup 700,000 liter diesel di perairan negara berjaya dipatahkan

Kira-kira 700,000 liter minyak diesel cuba diseludup secara haram menggunakan dua kapal tangki di perairan Bagan Ajam, Pulau Pinang.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, kegiatan itu berjaya dipatahkan selepas menerima maklumat risikan berhubung pergerakan mencurigakan dua kapal yang bersauh di lokasi berkenaan.

Hasil siasatan mendapati, kedua-dua kapal berada dalam keadaan bergandingan dan disyaki menjalankan aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal (ship-to-ship transfer) tanpa kebenaran.

Pemeriksaan lanjut mendapati aktiviti itu membabitkan pemindahan minyak diesel Euro 5 dengan anggaran sebanyak 700,000 liter, manakala keseluruhan rampasan minyak dianggarkan mencecah 800,000 liter.

Muhammad Suffi berkata, seramai 22 kru ditahan terdiri daripada warga Malaysia, Myanmar, Rusia, Filipina dan Indonesia di atas kedua-dua kapal berkenaan.

“Keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM2.33 bilion, menjadikan kes berkenaan antara tangkapan berprofil tinggi di perairan negara tahun ini.

“Nilai itu merangkumi kedua-dua kapal tangki serta muatan diesel Euro 5 yang cuba diseludup dianggarkan bernilai RM5.43 juta,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 491B (1)(k) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana melakukan aktiviti pemindahan kapal ke kapal tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

Katanya, kesalahan itu boleh dikenakan denda sehingga RM200,000 ke atas setiap vesel.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Akta Kastam 1967 berikutan kegagalan mengemukakan dokumen berkaitan pemindahan minyak serta pengisytiharan kargo.

“Semua kru dan kapal yang ditahan kemudiannya dibawa ke jeti sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Pulau Pinang bagi tindakan lanjut.

“Maritim Malaysia terus memperketat rondaan dan pemantauan bagi membanteras aktiviti pemindahan minyak secara haram di perairan negara,” katanya.

BACA JUGA Kerajaan nafi diesel 329,000 tong ke Filipina dari Malaysia