Sumud Flotilla kini jadi misi nasional
Malaysia mengangkat penyertaan dalam Sumud Flotilla Nusantara sebagai misi nasional, satu langkah yang dilihat memperlihatkan pendirian lebih tegas negara dalam isu Palestin.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata pengiktirafan itu menunjukkan Malaysia tidak lagi sekadar menyatakan sokongan, sebaliknya turut menginstitusikan penyertaan dalam misi kemanusiaan tersebut.
“Kali ini Malaysia bukan sahaja memberi sokongan tetapi mengiktiraf Sumud Flotilla Nusantara sebagai misi nasional. Inisiatif ini disokong oleh semua ahli parlimen kerajaan dan pembangkang,” katanya pada sidang media Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0.
Menurutnya, penyertaan itu mencerminkan sokongan meluas rakyat Malaysia terhadap usaha membela nasib rakyat Palestin, selain memperkukuh solidariti di peringkat antarabangsa.
Amirudin berkata misi berkenaan bukan sahaja bertujuan membawa bantuan ke Gaza, tetapi juga meningkatkan kesedaran global mengenai krisis yang berlaku.
“Tujuan kita ialah memastikan komuniti dunia memahami isu Gaza yang melangkaui kaum, agama dan sempadan,” katanya.
GSF 2.0 melibatkan kira-kira 1,000 peserta dari lebih 70 negara dengan penyertaan lebih 70 kapal, dalam usaha membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza ketika konflik di rantau itu berterusan.