Pas Pulau Pinang anggap orang fikiran bawah tempurung mainkan isu air Kelantan
Walaupun selesa tinggal di negeri Pakatan Harapan (PH), Pas Pulau Pinang hari ini tampil cuba mempertahankan kubu kuat parti itu di Kelantan berhubung masalah bekalan air bersih yang berlarutan sejak puluhan tahun.
Ketua Penerangannya, Abd Razib Rahim berkata, seluruh negara menghadapi masalah air sama ada berlaku ketika musim perayaan atau tidak.
“Kadang-kadang yang masih sering memainkan isu air Kelantan ini pula golongan yang mendakwa diri terpelajar dan profesional tetapi fikiran sempit di bawah tempurung mainan persepsi politik semata-mata,” katanya menerusi satu kenyataan.
Menurutnya, satu perjanjian telah dibuat dengan peruntukan RM2 bilion daripada Pusat pada tahun 2016 tetapi peruntukan itu tidak pernah sampai kepada Kelantan.
“Hanya apabila PN (Perikatan Nasional) memerintah negara, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Menteri KASA (Kementerian Air dan Sekitar) telah meluluskan peruntukan yang tinggi untuk mengatasi masalah air di Kelantan.
“Dan sehingga hari ini, kos yang diperlukan sudah pun meningkat kepada RM7 bilion,” katanya.
Dalam masa sama, Abd Razib turut mendakwa usaha yang sering dipatahkan tangan-tangan tertentu itu mengakibatkan Kelantan tertangguh untuk memulakan usaha membaiki masalah air dengan lebih awal.
“Hasilnya tidak dapat dilihat dalam masa terdekat ini, namun sekiranya kerajaan hari ini cuba mensabotaj lagi usaha yang telah dijalankan ini, selama-lamanya rakyat Kelantan akan menjadi mangsa,” tambahnya lagi.
Kelantan dibelenggu masalah bekalan air bersih sejak puluhan tahun lalu tetapi masih tiada penyelesaian yang signifikan di pihak Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).
Bekalan air kerap terputus di banyak kawasan malah ada ketika sehingga seminggu disebabkan masalah tangki.
Lebih memburukkan keadaan apabila musim sambutan Aidilfitri dengan kepulangan ramai perantau.
Tiada pilihan lain, penduduk terpaksa menyediakan tangki air sendiri untuk menyimpan air yang dihantar oleh lori.
Ramai penduduk di Kelantan juga menggali perigi atau membina telaga tiub yang ‘berkarat’ dan berbau untuk kegunaan harian.
BACA JUGA Nik Nazmi berazam mahu selesaikan masalah air di Kelantan
Â