DAP Johor sokong cadangan tangguh PRN, fokus ekonomi dan kos sara hidup

DAP Johor menyambut baik cadangan untuk menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka, dengan alasan bagi memastikan kestabilan politik dan tumpuan terhadap isu ekonomi semasa.

Naib Pengerusinya, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata cadangan yang dikemukakan oleh Ahmad Maslan itu dilihat sebagai langkah ke arah mengelakkan kitaran pilihan raya yang terlalu kerap.

Menurutnya, situasi global ketika ini yang dipengaruhi ketidaktentuan pasaran tenaga dan konflik geopolitik turut memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat di negara ini.

“Keutamaan ketika ini adalah memastikan kerajaan dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada pemulihan ekonomi, peningkatan peluang pekerjaan serta menangani tekanan kos sara hidup,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut berpandangan bahawa penyelarasan PRN secara serentak berpotensi menjimatkan perbelanjaan awam serta meningkatkan kecekapan pengurusan pilihan raya.

Bagaimanapun, katanya, sebarang keputusan untuk menangguhkan PRN perlu mengambil kira peruntukan Perlembagaan serta pandangan semua pihak berkepentingan.

Sheikh Umar berkata, DAP Johor komited menyokong usaha yang mampu menjamin kestabilan politik, tadbir urus yang baik serta manfaat jangka panjang kepada rakyat.