Geopolitik Asia Barat dedah pola kuasa besar terhadap penentang
Dinamika konflik di Asia Barat ketika ini memperlihatkan corak tindakan kuasa besar yang konsisten terhadap mana-mana pihak yang mencabar kepentingan mereka, kata Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata, dalam konteks semasa, tindakan ketenteraan dan tekanan geopolitik oleh Amerika Syarikat dan sekutunya termasuk Israel tidak membezakan sama ada pihak yang menjadi sasaran terdiri daripada kelompok Islamis, nasionalis atau gerakan lain.
Menurutnya, sejarah memperlihatkan pelbagai tokoh dari latar berbeza menjadi sasaran kerana pendirian mereka terhadap isu Palestin dan penentangan terhadap dominasi kuasa besar.
Beliau berkata, keadaan itu menunjukkan konflik di rantau berkenaan bukan sekadar pertembungan ideologi, sebaliknya melibatkan kepentingan geopolitik yang lebih luas.
“Musuh tidak melihat perbezaan mazhab atau aliran, sebaliknya menilai siapa yang menentang mereka,” katanya.
Dalam masa sama, Mohamad berkata sebahagian negara di dunia Islam masih terikat dengan kepentingan strategik kuasa besar, termasuk dalam aspek keselamatan dan ekonomi.
Menurutnya, keadaan itu memberi kesan kepada keupayaan dunia Islam untuk bertindak secara kolektif dalam menghadapi isu serantau.
Beliau turut menarik perhatian kepada perkembangan global yang menyaksikan peningkatan solidariti masyarakat antarabangsa, termasuk dari negara bukan Islam, dalam menyuarakan sokongan terhadap rakyat Palestin.
Katanya, situasi itu mencerminkan bahawa isu keadilan dan kemanusiaan semakin mendapat perhatian merentas sempadan, walaupun dunia Islam sendiri masih berdepan cabaran penyatuan.
Sehubungan itu, Mohamad menegaskan kepentingan memahami dinamika geopolitik secara lebih menyeluruh agar respons terhadap isu global dapat dirangka dengan lebih berkesan dan strategik.