AMANAH zahir ucapan takziah, perlu perkukuh keselamatan sekolah
AMANAH menyeru agar semua pihak mengutamakan kejujuran dan memperkukuh aspek keselamatan susulan kemalangan yang meragut nyawa seorang pelajar Tingkatan Satu di Kota Bharu.
Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat AMANAH, Azli Yusof berkata kejadian itu perlu dijadikan iktibar agar langkah pencegahan dapat dipertingkatkan, khususnya di kawasan sekolah.
Dalam kejadian tengah hari Ahad itu, mangsa, Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13, dipercayai dirempuh sebuah kenderaan dipandu seorang guru ketika berada di hadapan surau di sebuah sekolah menengah di Tanjong Mas.
Azli berkata pihaknya turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta mengakui insiden tersebut memberi kesan mendalam kepada seluruh warga sekolah.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap keluarga mangsa yang memilih untuk memaafkan guru terlibat, menyifatkannya sebagai contoh nilai kemanusiaan dan kebesaran jiwa.
Menurutnya, kemalangan boleh berlaku sama ada akibat kecuaian atau faktor luar jangka, termasuk keadaan teknikal kenderaan dan persekitaran.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa aspek kejujuran amat penting dalam menangani insiden sedemikian bagi memastikan setiap kesilapan dapat dikenal pasti dan diperbaiki.
“Dengan kejujuran, keadilan kepada mangsa dapat ditegakkan dan langkah penambahbaikan dapat dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, AMANAH menggesa institusi pendidikan, guru, ibu bapa dan pihak berkuasa memperkukuh langkah keselamatan di kawasan sekolah, terutama di lokasi yang menjadi tumpuan pelajar.
Azli berkata pendekatan menyeluruh diperlukan bagi mengelakkan kejadian sama berulang pada masa hadapan.