RMK13 akan direalisasi, bukan sekadar perancangan di atas kertas
Pelaksanaan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) tidak boleh terhenti pada peringkat perancangan, sebaliknya mesti diterjemahkan kepada hasil yang dirasai rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Daerah Kuala Terengganu bagi meneliti kemajuan projek serta isu pelaksanaan di peringkat lapangan.
Menurutnya, tiada ruang untuk kelewatan atau kecuaian dalam memastikan setiap inisiatif kerajaan memberi impak langsung kepada rakyat.
“Ukuran kejayaan adalah pada perubahan yang dirasai rakyat, bukan sekadar perancangan di atas kertas,” katanya.
Perbincangan mesyuarat itu memberi tumpuan kepada keutamaan rakyat merangkumi pendidikan, infrastruktur, pengangkutan awam, kesihatan serta aspek sosioekonomi dan kebajikan.
Anwar berkata pendekatan yang diambil adalah menyeluruh dan berteraskan nilai ihsan, keadilan serta amanah selaras dengan kerangka Malaysia MADANI.
Dalam masa sama, beliau menegaskan kerajaan akan memperkukuh penyelarasan antara agensi serta mempermudah urusan bagi memastikan pelaksanaan projek dapat dipercepat.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan setiap inisiatif sampai kepada rakyat tanpa hambatan birokrasi.
Perdana Menteri turut menyatakan harapan agar pelaksanaan RMK13 mampu meningkatkan taraf hidup rakyat serta memperkasa pembangunan di Terengganu.