Pas dakwa ada ‘agamawan bergelar ustaz’ sebar fitnah isu harga minyak

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa terdapat “agamawan yang bergelar ustaz dan sebagainya turut menyebarkan fitnah” berhubung isu kenaikan harga minyak susulan krisis Asia Barat.

Mereka juga, tegas Abdul Hadi, tidak mempedulikan “musuh yang menyerang Islam dengan zalim kerana beriman kepada harta”.

Bagaimanapun, pemimpin Perikatan Nasional (PN) berkenaan tidak memperincikan individu yang dimaksudkannya.

Penegasan Hadi itu terkandung dalam siri Minda Presiden yang diedarkan pagi ini bertajuk, ‘Perpaduan umat menghadapi musuh yang nyata’.

“Malangnya, ada kalangan agamawan yang bergelar ustaz dan sebagainya ikut bersama menyebarkan fitnah terhadap tanah air Islam dan umatnya yang dizalimi kerana isu kenaikan harga minyak, gas, dan lain-lain, tanpa peduli terhadap musuh yang menyerang Islam dengan zalim kerana beriman kepada harta,” katanya.

Menerusi tulisan tersebut, Hadi sebelum itu menegaskan bahawa Republik Islam Iran tampil membuat persediaan dan membantu Palestin yang bermazhab Sunni.

“Adapun negara Arab yang bergantung dengan pangkalan tentera Barat yang menaungi mereka sungguh mengecewakan.

“Akibatnya, Amerika Syarikat dan Israel menyerang Iran dengan menggunakan pangkalan mereka di negara Arab.

“Apabila Iran bertindak melancarkan serangan balas terhadap bala tentera asing di pangkalan mereka, tiba-tiba Iran dituduh menceroboh negara jiran, malah negara itu bertindak melindungi tentera asing,” tulisnya.

Ahli Parlimen Marang itu menambah, isu mazhab digunakan sebagai fitnah manakala Iran dikutuk dan disalahkan melalui PBB dan media.

Walhal, ujarnya, Amerika Syarikat (AS) dan Zionis Israel yang menceroboh negara Republik Islam Iran yang berdaulat secara zalim dan melampau.

“Iran, Hamas, dan kumpulan Islam yang bersama mereka disenaraikan sebagai pengganas yang mesti dihukum.

“Donald Trump membuat kenyataan bahawa Iran berubah menjadi pengganas sejak tahun 1978 dan rakyatnya wajib melakukan perubahan dengan melantik Putera Mahkota Shah Iran, iaitu Mohammad Reza Pahlavi yang berlindung di AS agar ditabalkan semula sebagai pemimpin negara Iran.

“Keadaan ini menunjukkan pengisytiharan perang terhadap Islam,” kata Hadi lagi.

BACA JUGA AMANAH sasar tawan Putrajaya pada PRU16